Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari melawat SME Aerospace Sdn Bhd pada 16 Julai 2019. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Aspirasi MB bantu lahir tenaga mahir aeroangkasa

SHAH ALAM, 21 JUN: Aspirasi Dato’ Menteri Besar yang mahu menjadikan Selangor pemain utama aeroangkasa menjelang 2030 melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam kalangan penduduk tempatan.

EXCO Industri Dato’ Teng Chang Kim berkata Dato’ Seri Amirudin Shari mahu melihat kemajuan dalam bidang penerbangan bukan berdasarkan nilai pelaburan tetapi membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Katanya, perkongsian pintar antara Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor dan GE Engine Services Malaysia Sdn Bhd (GE Engine Services) misalnya melahirkan 46 juruteknik dalam bidang aeroangkasa pada 2019.

“Komitmen Dato’ Menteri Besar memang jelas. Beliau melawat Pejabat Airbus Bizlab di Toulouse, Perancis dan kilang penerbangan di Maghribi bagi melihat lebih dekat potensi untuk dibangunkan di Selangor.

“Melalui pimpinannya sejak tiga tahun lalu, program latihan tenaga kerja dilaksanakan dengan kerjasama GE Engine Services yang melahirkan 46 juruteknik. Ramai lagi tenaga mahir akan menyusul selepas ini,” katanya.

Mengulas tiga tahun pentadbiran Dato’ Menteri Besar pada 19 Jun lalu, beliau percaya Amirudin tidak sesekali menoleh ke belakang sekalipun sektor berkenaan berdepan cabaran getir berikutan pandemik Covid-19.

“Malah, Selangor telah membuat persiapan awal kerana sektor tersebut dijangka kembali rancak pada 2023.

“Antaranya kita akan teruskan penganjuran Pameran Penerbangan Selangor (SAS) yang ditangguh daripada 12 hingga 14 Ogos kepada 25 hingga 27 November,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Kota Damansara pula menyifatkan pemilihan Subang sebagai antara lokasi dalam gugusan industri aeropolis dan aeroangkasa tepat kerana wujudnya kemudahan seperti landasan kapal terbang.

“Selain itu, ramai tenaga mahir di Dewan Undangan Negeri Kota Damansara kerana kebanyakan penduduk terutama di Kampung Melayu Subang asalnya dari komuniti aeroangkasa.

“Saya berbangga kerana kawasan saya wakili dipilih bagi projek berkenaan,” kata Shatiri Mansor lagi.


Pengarang :