Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kota Bharu menuju ke Pasir Pekan sempena pelaksanaan sekatan pergerakan pada 20 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

ATM lancar operasi bersepadu kekang jenayah, pendatang tanpa izin

KOTA BHARU, 20 JUN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan projek rintis operasi bersepadu untuk memperketat kawalan keselamatan di sempadan seluruh negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan kemasukan pendatang tanpa izin, terutama ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata projek rintis yang dilancarkan Rabu lepas dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) itu sekali gus membantu usaha kerajaan melandaikan keluk jangkitan COVID-19.

Beliau berkata ia berikutan wujud beberapa jangkitan varian baharu wabak itu di negara ini, dipercayai berpunca daripada kehadiran pendatang tanpa izin.

“Saya yakin sekiranya kawalan keselamatan dioptimumkan, kita akan berupaya meningkatkan operasi kedua-dua pasukan ini dalam memelihara sempadan negara daripada diceroboh apa jua ancaman,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Pasir Pekan, dekat sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Mohammed Piah.

Muhammad Hafizuddeain berkata bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) secara progresif membekalkan pelbagai aset dalam memperkasakan keupayaan operasi setiap pasukan keselamatan bertugas.

Sementara itu, mengenai lawatan di Kelantan selama tiga hari bermula semalam, beliau berkata operasi kawalan keselamatan di sempadan Kelantan-Thailand antara ATM dan pelbagai agensi berkaitan berada pada tahap baik.

— BERNAMA


Pengarang :