Selangorkini
Kemudahan yang terdapat di pusat terapi kanak-kanak berkeperluan khas Akademi Headstart berlokasi di pusat beli-belah SACC, Shah Alam. Imej dirakamkan pada 14 April 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Bantuan Didik Anis untuk pusat pemulihan dalam komuniti, swasta

SHAH ALAM, 15 JUN: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan berjumlah RM500,000 kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan pusat swasta yang menjalankan Program Intervensi Awal (EIP).

Sumbangan menerusi program Bantuan Didik Anis adalah bagi membantu pusat pendidikan swasta dan kerajaan serta pusat terapi terlibat bagi menaik taraf keperluan sekali gus membantu anak istimewa menjalani program dengan lebih berkesan dan sistematik.

“Kerajaan Negeri memahami situasi semasa dihadapi pusat berkaitan akibat pandemik Covid-19 bagi menampung kos operasi, terutama dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.

“Oleh itu, bantuan sebanyak RM5,000 kepada PPDK dan RM10,000 (pusat swasta) disalurkan meliputi keseluruhan 59 pusat berkenaan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga yang melaksanakan program tersebut.

Bantuan itu akan dibuat secara berperingkat bermula 15 Jun dan semakan kelulusan permohonan boleh dibuat menerusi laman sesawang www.anisselangor.com/didikanis .

Sebarang pertanyaan mengenai perkara terbabit boleh diajukan menerusi alamat emel [email protected] atau di nombor telefon 03-5545 3170.


Pengarang :