Pelajar Unisel mengulang kaji pelajaran bersama rakan di Kolej Kediaman Bestari Jaya (KKBJ). Foto Facebook Unisel
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bantuan Mahasiswa Selangor ringan beban 62 peratus pelajar B40 Unisel

SHAH ALAM, 14 JUN: Bantuan Mahasiswa Selangor dapat meringankan beban kira-kira 62 peratus pelajar kurang berkemampuan di Universiti Selangor (Unisel), kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajarnya.

Prof Madya Dr Hamdan berkata beliau menyambut baik inisiatif diumum Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Pakej Kita Selangor yang tidak meminggirkan mana-mana golongan.

Beliau berkata inisiatif itu melengkapi usaha Unisel membantu pelajar meneruskan kembara ilmu dan berjaya pada masa akan datang.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana amat prihatin terhadap golongan mahasiswa. Bantuan berupa pemberian makanan dan keperluan asas ini amat diperlukan terutama kepada pelajar yang terkandas di kampus ekoran pandemik Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Dr Hamdan, pihaknya  juga menyediakan pelbagai usaha lain demi meringankan beban pelajar termasuk biasiswa program asas, tabung amanah Unisel dan dermasiswa.

Dalam pada itu, Dr Hamdan mencadangkan Kerajaan Selangor menyediakan subsidi yuran asrama, bantuan komputer riba atau peranti kepada pelajar yang berada di kampus ketika ini.

“Mungkin dengan cara itu sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang tiada akses peranti ini,” katanya lagi.

Pada 9 Jun lalu, Amirudin mengumumkan peruntukan RM1.5 juta untuk menyediakan barangan makanan dan keperluan asas kepada 7,500 mahasiswa yang masih berada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi Pengajian Tinggi di bawah Kerajaan Negeri.


Pengarang :