Anggota polis, tentera dan Rela menutup jalan utama ke kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 30 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Bantuan makanan buat penduduk terkesan PKPD mulai esok

SHAH ALAM, 29 JUN: Wakil rakyat Sungai Ramal menyediakan keperluan asas kepada penghuni Pangsapuri Sri Ayu di Bandar Baru Bangi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Mazwan Johar berkata bantuan termasuk makanan akan diagihkan kepada penduduk kawasan tersebut dalam tempoh 14 hari mulai esok berdasarkan senarai Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

“Lazimnya kami sediakan makanan dan barangan lain bergantung keperluan serta permintaan penduduk.

“Sebaik sahaja dapat maklumat diperlukan, kami akan sediakan bantuan menggunakan peruntukan wakil rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Mazwan turut mencadangkan program Saringan Komuniti diadakan sekali lagi di kawasan Sungai Ramal berikutan peningkatan kes Covid-19 dan risiko penyebaran oleh pembawa senyap.

“Ini kali ketiga PKPD dikenakan di sini, tahun lalu di Kampung Sungai Ramal Dalam dan Hentian Kajang,” katanya lagi.

Selain Pangsapuri Sri Ayu, tiga lagi kawasan dikenakan PKPD mulai esok ialah CLQ Gamuda Gardens, Kundang Jaya, Rawang; Taman Murni, Sepang dan CLQ Johan Setia di Klang.

Arahan itu berikutan sebanyak 454 kes dikesan di kesemua kawasan terbabit dalam tempoh seminggu.

Hari ini, tiga kawasan di Petaling dikenakan PKPD selama 14 hari mulai 1 Julai iaitu Mentari Court di PJS 8, Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS.


Pengarang :