Anggota penguat kuasa MDKS menjalankan pemeriksaan ke atas premis di Kuala Selangor dan Tanjong Karang pada 1 Jun 2021. Foto Facebook MDKS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Baru sehari PKP, 11 premis di Kuala Selangor dikesan langgar SOP

SHAH ALAM, 2 JUN: Hanya sehari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuat kuasa, sebanyak 11 premis perniagaan sekitar Kuala Selangor dan Tanjong Karang diarah tutup.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Daerah Kuala Selangor berkata premis terbabit yang menjual alat perkakas rumah bukan dalam sektor ekonomi perlu yang dibenarkan kerajaan.

“Antara alasan diberi pemilik premis adalah mereka tidak jelas dengan SOP ditetapkan kerajaan dan menyangka semua kedai boleh (dibuka) semasa PKP.

“Susulan itu, kita memberi penjelasan hanya premis menjual makanan dan minuman serta keperluan asas dibenarkan beroperasi,” kata Lutfi Mislah ketika dihubungi.

Beliau menambah meskipun tiada kompaun dikeluarkan, namun pemantauan ke atas semua premis di daerah terbabit dipergiat bagi mengelak pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP).

“Kita juga akan memberi arahan kepada pasar raya supaya menutup bahagian barangan bukan keperluan,” kata Lutfi lagi.

Hanya 17 sektor dibenarkan beroperasi sepanjang PKP mulai semalam sehingga 14 Jun meliputi makanan dan minuman termasuk untuk haiwan, penjagaan kesihatan dan perubatan, perniagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar.

Selain itu, perkhidmatan air, tenaga, keselamatan, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan batuan kemanusiaan, urusan sisa pepejal, pengangkutan darat dan air.

Turut dibenarkan perkhidmatan dan perusahaan pelabuhan, lapangan terbang, komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan internet, pos serta kurier penyiaran bagi penyampaian maklumat berita.


Pengarang :