Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, (kiri) bersama Adryana Iwani, 20, (tengah) dan Noratirah Husin, 20, ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kota Bharu pada 27 Jun – Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Bayi kembar tertukar 20 tahun lepas, hospital kesan petugas terlibat

KOTA BHARU, 28 JUN: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akan meneliti semua dokumen berkaitan termasuk mencari petugas kesihatan yang terlibat sebelum mengesahkan kisah tragis tiga bayi perempuan termasuk sepasang kembar yang dilahirkan 20 tahun lepas, tertukar dipercayai akibat kecuaian.

Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali mengakui pihaknya turut ‘terkejut’ apabila membaca kisah tersebut namun, memerlukan masa untuk mencari dokumen berkaitan sebelum membuat rumusan apa yang sebenarnya berlaku.

“Secara asasnya fail pesakit khususnya melibatkan pediatrik ini disimpan selama 21 tahun, tetapi kita tahu HRPZ II ini telah terlibat dalam banjir besar pada 2004 dan 2014, pada 2014 hampir 300,000 dokumen kita telah ditenggelami banjir dan telah dilupuskan.

“Bagaimanapun, pihak saya akan cuba mencari dokumen berkaitan sekarang, sudah tentu kita akan menyiasat perkara ini sepertimana yang diberitahu oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (Datuk Dr Zaini Hussin) semalam,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika hadir menyaksikan Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan oleh Persatuan Tzu Chi Cawangan Kelantan kepada Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir di PKRC Tanjung Chat, di sini hari ini.

Dr Selasawati berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama berkenaan dua keluarga terpaksa mengharungi kisah tragis selepas tiga bayi perempuan termasuk sepasang kembar yang dilahirkan 20 tahun lepas tertukar dipercayai akibat kecuaian kakitangan sebuah hospital di Kota Bharu.

Mengulas lanjut, Dr Selasawati berkata pihaknya juga turut berharap dan berterima kasih sekiranya semua ahli keluarga yang terbabit dapat hadir bagi membantu siasatan.

— BERNAMA


Pengarang :