Kakitangan pusat khidmat membantu penduduk membuat pendaftaran vaksin ketika Program Kaunter Bergerak Pendaftaran Vaksin anjuran Pusat Khidmat DUN Bukit Melawati di Taman Senangin, Jeram, Kuala Selangor pada 18 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Benarkan swasta beli vaksin, bantu cepat imuniti kelompok

SHAH ALAM, 26 JUN: Kerajaan disaran membenarkan sektor swasta membuat perolehan vaksin dengan syarikat farmaseutikal luar negara bagi mempercepat sasaran imuniti kelompok.

Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan Elizabeth Wong berkata ketika ini peratusan rakyat disuntik masih rendah khususnya di Selangor dan dibimbangi menjejaskan usaha menurunkan kes Covid-19.

“Walaupun kita nampak setiap hari angka (dos suntikan) lebih 100,000 tetapi untuk mencapai imuniti kelompok akan mengambil masa lebih enam bulan, ini satu fakta.

“Jadi, lebih bagus sekiranya banyak pihak terlibat dalam program vaksinasi dan kerajaan harus beri sedikit kelonggaran seperti benarkan hospital atau pihak luar (swasta) bawa vaksin secara rasmi ke dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara melawan wabak, melangkau politik yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, Elizabeth meminta kerajaan memperkenal kit ujian kendiri Covid-19 dan dijual dengan harga lebih murah bagi memudahkan individu membuat saringan awal tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan.

“Ujian Covid-19 sangat penting kerana kita boleh mengelak jangkitan daripada merebak. Misalnya, jika kit tersebut dijual RM10, orang biasa (kurang mampu) boleh bayar. Mereka juga boleh kuarantin sendiri di rumah sekiranya positif,” katanya.


Pengarang :