Rakaman orang ramai melanggar tatacara operasi piawai (SOP) dengan berkumpul di Jambatan Raja Muda Nala pada Ahad, 13 Jun 2021.
AGENDANASIONAL

Berkumpul di jambatan, seramai 54 dikompaun RM2,000 seorang

KLANG: Seramai 54 individu dikenakan kompaun masing-masing RM2,000 kerana berkumpul di Jambatan Raja Muda Nala, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata semua individu berumur 17 tahun hingga 40 tahun didapati melepak selepas melakukan aktiviti senaman dan joging.

“Bertindak hasil aduan awam, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan ke lokasi berkenaan jam 6 petang.

“Polis mendapati ramai orang awam parkir kenderaan berdekatan tempat halangan batu serta berkumpul di atas jambatan yang ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati semua individu itu terdiri orang tempatan dan dari luar kawasan.

Rakaman video kejadian tular menerusi aplikasi WhatsApp yang memaparkan sepasukan polis menyuraikan orang awam di Jambatan Raja Muda Nala.


Pengarang :