Kementerian Kesihatan mengesahkan bakteria ditemui dalam dua produk rumusan bayi.
RENCANAWAWANCARA

Bidan, pengamal penjagaan ibu lepas bersalin perlu berdaftar

OLEH SOON LI WEI

Rencana ini adalah bahagian akhir daripada dua bahagian, mengenai keperluan menjadikan pusat penjagaan ibu selepas bersalin menjadi lebih selamat untuk ibu dan bayi.

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Status ketauliahan, pengalaman serta latar belakang pengamal pusat penjagaan ibu bersalin (postnatal) perlu diambil kira sebelum melanggan sebarang perkhidmatan yang ditawarkan.

Langkah ini penting untuk memastikan keselamatan serta menjamin hak pelanggan memandangkan semakin banyak muncul pusat penjagaan seumpama itu.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah yang memberikan peringatan itu bagaimanapun berkata, sehingga kini masih belum ada lagi akta khusus untuk perkhidmatan pusat penjagaan ibu dan bayi ketika berpantang.

“Kerajaan masih dalam perbincangan dan penggubalan dasar itu akan melibatkan pelbagai pihak kerana pusat penjagaan ibu berpantang bukan setakat hanya menjaga sahaja tetapi juga merangkumi perubatan tradisional dan moden, urut, jamu dan penggunaan alat perubatan hospital,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif baru-baru ini.

STATUS PUSAT PENJAGAAN IBU BERPANTANG

Menurut Abdul Shukur, pada masa ini kerajaan hanya mewajibkan semua pengamal penjagaan postnatal tradisional berdaftar di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 (Akta 775).

Beliau berkata, mulai 15 Mac 2021, Akta 775 dikemaskini dengan mewajibkan semua pengamal tradisional yang tidak mempunyai sijil tetapi mempunyai pengalaman mengambil kursus wajib selama setahun bagi melayakkan mereka berdaftar sebagai pengamal PT&K dalam masa dua tahun.

“Oleh itu, semua pengamal penjagaan ibu berpantang sama ada bidan, jururawat ataupun pengamal urutan tradisional perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Akta 775.

“Ia bagi menjamin kualiti perkhidmatan pengamal postnatal kepada pelanggan di samping dapat melindungi hak, menjaga keselamatan dan kesejahteraan kedua-dua pihak,” katanya.

Abdul Shukur berkata semakin ramai bakal ibu atau yang berpengalaman melahirkan anak mengakui akan kepentingan berpantang dengan betul dan paling penting bebas daripada sebarang tekanan serta gangguan terutamanya ketika pandemik Covid-19.

“Pusat penjagaan ini biasanya menyediakan penginapan dan makanan berpantang untuk ibu dan bayi, dengan perkhidmatan dobi dan kakitangan sokongan 24 jam. Ini termasuk jururawat, bidan atau pembantu pantang. Sesetengah pusat juga menyediakan produk berpantang dan produk bayi, serta aktiviti seperti kelas pengasuhan dan sesi urutan.

“Namun dalam menawarkan pakej, pelbagai aspek perlu diambil kira seperti penetapan harga, keselamatan bangunan yang digunakan untuk penjagaan postnatal, serta kualiti perkhidmatan,” katanya.

Beliau menambah, buat masa sekarang, sekiranya pusat penjagaan berkenaan didapati melanggar peraturan atau berlaku kemalangan di premis berkenaan membabitkan pelanggan dan bayi, hanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh menggantung lesen perniagaan.

“Sebab itulah pentingnya diwujudkan akta khusus untuk memantau kerana jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, penguatkuasaan dapat dijalankan dengan menutup premisnya dan tindakan ke atas staf yang terlibat,” katanya.

PROGRAM MAMACARE

Dalam wawancara dengan Bernama ini juga, Abdul Shukur berkata, selain penjagaan postnatal yang ditawarkan oleh pihak swasta, ibu selepas bersalin mempunyai alternatif untuk mendapatkan perkhidmatan di bawah program naungan LPPKN iaitu Mamacare.

Menurut beliau, sejak ditubuhkan pada tahun 2012, pihaknya telah melatih seramai 1,431 pengamal Mamacare di seluruh negara yang menawarkan perkhidmatan postnatal bergerak iaitu rumah ke rumah bagi pakej penjagaan ibu berpantang.

Beliau menambah, setakat ini, Mamacare memberi perkhidmatan kepada seramai 54,271 orang wanita dan kesemua pengamal Mamacare berkemahiran dalam bidang urutan tradisional, penyediaan makanan berpantang, bertungku serta pengurusan bayi.

Pengamal Mamacare menjalani latihan bertauliah selama setahun di Institut Sosial Malaysia (ISM) dengan menggunakan standard kemahiran pekerjaan kebangsaan (NOSS) untuk mendapatkan Diploma Kemahiran Malaysia 4.

Mereka yang mengambil latihan bertauliah ini terlebih dahulu mesti memiliki Sijil Kemahiran Malaysia tahap 3 (sama ada menerusi program Mamacare atau dengan pihak lain).

“Antara silibus dalam modul pembelajaran itu termasuk kursus saringan kesihatan, asas kaunseling, selain kaedah penjagaan postnatal tradisional dan moden,” katanya sambil menambah, peserta akan diberi uniform Mamacare dan sijil selepas kursus untuk melayakkan mereka menjalankan perkhidmatan.

Menurut beliau, kelebihan perkhidmatan pengamal Mamacare ialah mereka turut diberi latihan untuk melakukan saringan kesihatan seperti penggunaan alatan tekanan darah sebelum menjalankan urutan tradisional atau moden.

“Jika dibandingkan dengan pengamal urutan tradisional, mereka hanya menpunyai pengalaman yang mungkin diwarisi daripada nenek moyang namun jika mereka diberi latihan di bawah Mamacare, ia lebih bersifat profesional dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka,” katanya.

Sebanyak 12 pakej ditawarkan di bawah program Mamacare untuk sebelum dan selepas bersalin yang berharga antara RM499 hingga RM8,999.

Pengarah Urusan Mamacare, Rahimah Ibrahim memberitahu Bernama, pihaknya juga menawarkan pakej lulur dan pakej urutan penggalak susu, selain pakej untuk wanita-wanita yang mengalami keguguran.

Kesemua pakej yang ditawarkan hanyalah merupakan penjagaan harian (daycare) dan tidak bermalam ‘overnight’ di rumah pelanggan.

Mamacare juga turut mengeluarkan produk berpantang seperti jamu, mandian herba, bengkung, dan penjagaan bayi-bayi jenama tersendiri.

Menurut beliau, mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan selepas bersalin boleh berbuat demikian menerusi aplikasi dalam talian ‘Mamacare.my’ yang boleh dimuat turun menerusi Google Play.

MAHU PENGAMAL SWASTA DIIKTIRAF

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Esther Postpartum Care Sdn Bhd, Datin Kathrina Loh berkata, pihaknya menggabungkan perubatan tradisional Cina dan moden dalam penjagaan ibu berpantang sejak penubuhannya 13 tahun lalu.

“Kesemua jururawat, bidan dan pengamal postnatal kami dilatih secara eksklusif dari Taiwan kerana konsep berpantang di pusat kami adalah berpandukan kepada hospitaliti Taiwan, selain disesuaikan dengan budaya tempatan.

“Namun demikian, adalah lebih profesional sekiranya kerajaan dapat menggubal satu akta khas bagi mengawal selia pusat penjagaan ibu berpantang seperti kami kerana kini semakin banyak persaingan dan untuk pemantauan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Menurut beliau, perkhidmatan berpantang secara eksklusif itu terkenal dalam kalangan pelanggan berbangsa Cina, tetapi masih kurang mendapat perhatian oleh pelanggan berbangsa Melayu kerana mereka lebih suka berpantang di rumah dengan mengamalkan rawatan tradisional turun-temurun.

“Perubahan gaya hidup masyarakat melihat kesedaran kepada golongan muda untuk memilih pusat kesihatan postnatal kerana di sini, tahap kesihatan mereka akan dipantau sebaik sahaja mereka dibenarkan keluar selepas bersalin dan di bawa ke sini untuk berpantang.

“Bagi pelanggan berbangsa Cina, perkhidmatan penjagaan pelanggan hanya selama 28 hari tetapi untuk pelanggan berbangsa Melayu, ia boleh dilanjutkan sehingga hari ke-44,” katanya sambil menambah, pihaknya bakal menawarkan pakej berpantang untuk pelanggan-pelanggan Melayu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, kata beliau, disebabkan berstatus pusat jagaan, sebarang komplikasi ataupun masalah kesihatan ketika berpantang haruslah merujuk kepada hospital ataupun klinik berdekatan.

“Doktor sakit puan, pediatrik dan pengamal tradisional Cina hanya akan datang dua kali seminggu, jadi jika berlaku sebarang kecemasan pada ibu seperti demam, batuk ataupun komplikasi lain, kami akan menghantar mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor yang bertugas sebagai Locum (separuh masa) hanya akan datang untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh dua hingga tiga kali seminggu,” katanya.

Loh menjelaskan, bayaran pakej yang disediakan untuk berpantang selama 28 hari adalah antara RM13,888 hingga RM33,000 bergantung kepada pakej dan jenis penginapan seperti hotel butik.

“Bayi pula ditempatkan di bilik khusus dan mendapat perhatian secukupnya oleh jururawat terlatih serta dibawa ke bilik ibu untuk menyusu selain menerima lawatan doktor kanak-kanak setiap minggu.

“Ibu dan anak yang baru sahaja keluar dari hospital akan terus datang tanpa perlu membawa peralatan lengkap dari rumah, kerana kami akan menyediakan segalanya untuk pelanggan.

“Antaranya ialah lampin pakai buang tanpa had, produk mandian dan pakaian bayi, manakala rutin biasa penjagaan bayi pula ialah seperti ukuran berat badan, penjagaan tali pusat, urutan badan bayi serta pemeriksaan kesihatan bayi dengan termasuk suhu badan, kadar degupan jantung dan juga pernafasan.

“Turut diutamakan ialah pemantauan terhadap penyakit kuning dalam kalangan bayi-bayi baru lahir,” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :