Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Serin, Cyberjaya pada 2 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bimbang ada gejala, lima beranak nekad buat saringan

CYBERJAYA, 3 JUN: Bimbang gejala sakit tekak dan selesema yang dialami mendorong sebuah keluarga membuat saringan Covid-19 di Dewan Orang Ramai Serin di sini semalam.

Mohd Sukri Mohd bersama isteri dan tiga anaknya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengesahkan status kesihatan diri selain mengelak menjadi ‘pembawa senyap’ virus.

“Dalam dua tiga hari lepas saya dan keluarga rasa kurang sihat. Kemudian saya dimaklumkan jiran ada saringan di sini, kami tidak berfikir panjang memang terus pergi.

Mohd Sukri Mohd

“Proses saringan berjalan lancar dan diharap Kerajaan Negeri teruskan inisiatif ini kerana ia dapat membantu meringankan beban golongan kurang mampu,” kata peniaga berusia 46 tahun itu.

Kakitangan swasta Farah Adibah Mohd Azman bersama anaknya yang berusia empat tahun memilih untuk menjalani ujian Covid-19 berikutan kedua-duanya menghidap penyakit asma.

Wanita berusia 33 tahun itu turut memuji proses saringan yang mudah dan teratur selain tidak perlu menunggu lama seperti di klinik swasta.

Sementara itu, Low Siew Theng, 30, sanggup memandu lebih 10 kilometer dari Kajang kerana tidak mahu terlepas program saringan percuma sekali lagi.

Low Siew Theng

“Dalam perjalanan memang ada sekatan jalan raya tetapi apabila tunjuk daftar saringan di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), polis lepaskan,” katanya.

Lebih 81,000 individu menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor antara 8 Mei hingga 1 Jun. Daripada jumlah itu, 3,000 individu disahkan positif.

Program pengawasan Covid-19 dibuat secara aktif di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyasar golongan berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan.


Pengarang :