Suasana di pusat saringan percuma Covid-19 di Dewan MPK Taman Klang Jaya, Klang pada 31 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Buat saringan elak jadi pembawa virus ketika hantar barang

KLANG, 1 JUN: Skop kerja melibatkan pertemuan dengan orang ramai mendorong seorang pekerja syarikat kurier menyertai program saringan Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri.

Muhammad Amiruldin Zainudin, 27, nekad untuk memastikan dirinya bebas jangkitan selain mengelak menjadi pembawa virus ketika menghantar barangan.

Muhammad Amiruldin Zainudin

“Rakan sekerja pun hantar barang ke pelbagai tempat, jadi masing-masing berisiko. Lebih baik datang buat saringan untuk pastikan kita sihat,” katanya yang hadir bersama rakan sekerja di Dewan MPK Taman Klang Jaya semalam.

Purusothman Nair, 36, berkata Saringan Komuniti wajar diperluas ke kawasan sekolah bagi memastikan warga kerja termasuk pelajar sihat serta menjalani sesi persekolahan secara fizikal.

“Selain sekolah, cadangan untuk membuat saringan rumah ke rumah juga langkah yang baik bagi mengurangkan jumlah kes yang ketika ini pada tahap membimbangkan,” katanya yang juga seorang guru.

Bagi Angel Lim, 38, saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri bukan sahaja menjimatkan kos malah proses ujian calitan hanya berlangsung dalam tempoh singkat.

Angel Lim

“Ini program yang bagus dan wajar diikuti oleh pihak lain dalam membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19,” katanya.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan wabak secara aktif melalui Saringan Komuniti di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program yang memanfaatkan penduduk berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri selesai dijalankan di 36 DUN setakat ini.

Inisiatif tersebut diteruskan mengikut jadual meski negara kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama dua minggu.


Pengarang :