Selangorkini
Masyarakat diminta menyemak dahulu kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsi dalam media sosial bagi mengelak penyebaran berita palsu dan maklumat tidak tepat. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Bukit Aman buka 1,897 kertas siasatan babit kes media sosial

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Sebanyak 1,897 kertas siasatan dibuka melibatkan kes-kes dalam media sosial bagi tempoh Januari 2019 hingga kelmarin, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 185 kes menyentuh institusi diraja, 112 kes melibatkan kaum, 168 kes penghinaan agama dan 248 kes berkaitan kerajaan.

“Jumlah yang selebihnya melibatkan kes individu atau agensi dan sebanyak 844 iaitu 44.5 peratus kes berjaya diselesaikan manakala bakinya iaitu 1,053 kes atau 55.5 peratus lagi masih dalam siasatan.

“Sepanjang tempoh 18 Mac tahun lepas hingga 20 Jun tahun ini, siasatan melibatkan penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 mencatatkan 254 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 109 kes telah diselesaikan manakala 145 kes lagi masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata JSJ melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) Bukit Aman bertanggungjawab memantau sekali gus dengan bantuan kontinjen di seluruh negara menjalankan siasatan kes melibatkan media sosial.

Beliau berkata ini melibatkan penyebaran berita palsu atau hasutan yang boleh membangkitkan perasaan tidak setia, menyebabkan kegentaran awam atau menggugat keamanan negara yang berbaur penghinaan terhadap institusi diraja, kerajaan, pentadbiran keadilan, sensitiviti agama serta kaum.

“Siasatan dijalankan selari dengan peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“…sekiranya mempunyai elemen seperti berikut iaitu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 500/504/505/298A/298/203A), Akta Hasutan 1948, kes-kes melibatan 3R (Ruler, Religion dan Races), kes melibatkan kerajaan, pentadbiran, keadilan, individu berpengaruh atau kes berprofil tinggi dan kesalahan di bawah undang-undang lain seperti Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342),” katanya.

Abd Jalil berkata pihaknya menyeru dan menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial untuk menyalurkan berita atau informasi yang tidak dipastikan kesahihannya.

“Sebarang penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau apa-apa berita yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial tersenarai kepada kesalahan yang boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain yang berkuat kuasa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :