Kementerian Kesihatan Arab Saudi menyediakan kemudahan enam hospital, 51 klinik, 200 ambulans, 62 pasukan sepanjang ibadah haji.
AGENDANASIONAL

Bukit Aman kesan agensi pelancongan tipu tawar pakej haji

KUALA LUMPUR, 10 Jun: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan satu bentuk penipuan berkaitan pakej haji, umrah dan badal haji bagi tahun 2021, yang ditawarkan beberapa agensi pelancongan sejak kebelakangan ini.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Kamarudin Md Din berkata, penawaran pakej sedemikian amat meragukan, kerana ia ditawarkan walaupun dalam tempoh negara dilanda wabak Covid-19, serta sekatan pergerakan penuh yang dikuatkuasakan kerajaan.

 

Beliau berkata kerajaan sebelum ini telah menyatakan, bahawa ia masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Arab Saudi berkenaan kebenaran ibadah haji, serta kuota yang dibenarkan bagi musim 2021.

 

PDRM melihat tindakan segelintir agensi pelancongan mengiklankan pakej haji, umrah mahupun badal haji bagi tahun 2021, adalah satu tindakan pramatang serta mungkin merupakan penipuan.

 

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, boleh dijalankan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan penipuan berhubung kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kamarudin berkata jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau kedua-duanya sekali, boleh dikenakan terhadap pesalah yang terlibat.

 

Beliau turut mengingatkan orang ramai, agar lebih berhati-hati dan membuat semakan yang sewajarnya dengan agensi kerajaan berkaitan, sebelum mengambil keputusan membuat bayaran dan menyertai mana-mana pakej yang ditawarkan.

 

“Orang ramai yang berminat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi tahun ini juga diingatkan, untuk sentiasa peka dengan perkembangan dan arahan terkini yang dikeluarkan pihak kerajaan, berkaitan sekatan perjalanan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

 

Sebelum ini, pada 24 Mei lepas, kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) menyatakan yang mereka masih lagi menunggu pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi, berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan, dan kaedah pelaksanaan ibadah untuk musim haji kali ini.

 

Pada 4 Jun lepas, TH menasihatkan bakal haji Malaysia agar bersabar menunggu pengumuman rasmi mengenai status ibadah haji tahun ini.

 

Berikutan itu, Pengarah Eksekutif TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menyatakan, pihaknya akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada semua bakal haji, sebaik memperoleh keputusan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi, meliputi jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah haji bagi musim ini.

 

– BERNAMA


Pengarang :