Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim bercakap kepada media ketika ditemubual di Dewan Annexe, Shah Alam pada 13 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cadang sidang dewan negeri Ogos depan, speaker mohon perkenan Sultan

SHAH ALAM, 18 JUN: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) akan memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi pembukaan sidang dewan sekitar Ogos depan.

Ng Suee Lim berkata beliau akan mengutus surat kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam masa terdekat dan tindakan susulan bakal diambil sekiranya mendapat perkenan baginda.

“Sekiranya tarikh dicadangkan itu masih dalam tempoh perintah darurat, maka Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) pula akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

“Ini kerana kita tidak tahu sama ada kerajaan pusat akan melanjutkan darurat yang sepatutnya tamat pada 1 Ogos,” katanya kepada Selangorkini.

Semalam, Amirudin dilaporkan berkata beliau akan berbincang dengan Suee Lim bagi merancang pembukaan sidang DNS secepat mungkin.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin selepas mempengerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata di peringkat negeri Raja-Raja Pemerintah juga berpendirian agar Dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin.


Pengarang :