BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Covid-19: Derita ibu hamil 42 hari bertarung nyawa

SHAH ALAM, 19 JUN: Rabiatul Adawiah melihat sendiri troli jenazah lalu lalang ketika menerima rawatan Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Beliau yang hamil tujuh bulan melalui pelbagai ‘seksaan’ selepas tahap kesihatan terutama pernafasannya merosot mendadak di rumah sebelum dikejarkan ke hospital.

Beberapa kali beliau berdepan suasana cemas sejak dibawa ambulans ke hospital hingga dibenar keluar ICU. Dari kandungan tangki oksigen tidak mencukupi, kaki dan tangan diikat ketika rawatan hinggalah tiub oksigen tersumbat.

Fikiran, emosinya juga galau. Lebih-lebih lagi mengenangkan pengakuan doktor tiada jaminan tentang keselamatan anak dalam kandungan.

Kematian terasa begitu dekat. Lebih-lebih lagi saat beliau diminta mengucap kalimah syahadah sebelum ‘ditidurkan’ akibat sesak nafas keterlaluan.

Rabiatul masih ingat tanggal 15 Januari, hari beliau dijangkiti virus itu. Awalnya, beliau cuma batuk-batuk. diikuti sesak nafas. Kemudian tubuhnya terasa longlai, ada kalanya tidak mampu berjalan.

Tidak tahu punca

Tidak pula terlintas beliau dijangkiti Covid-19. Apatah lagi, doktor yang ditemui di klinik juga tidak menyarankannya membuat saringan. Alasannya, beliau bukan kontak rapat mana-mana pesakit positif.

Namun, memikirkan anak dalam kandungan, Rabiatul memutuskan untuk membuat ujian pantas polimerase masa nyata (RT-PCR), itupun setelah lima hari menanggung derita.

Benarlah, Covid-19 menyerang. Malah, beberapa jam sebelum dibawa ke hospital, beliau terasa putus nafas sebaik sahaja memberi salam pertama solat Asar.

“Saya tepuk-tepuk meja, sepak-sepak kaki cuba untuk bernafas. Tidak boleh! Saya tidak boleh sedut, tidak boleh hembus!” cerita Rabiatul, pengurus sebuah syarikat swasta.

Di dalam ambulans pula, azab belum berakhir, bahkan tambah mendebarkan. Mengikut petugas kesihatan, kandungan tangki tidak cukup untuk menampung kekurangan oksigen dalam tubuhnya.

Mujur Rabiatul sempat tiba di hospital pada 23 Januari. Mengikut doktor, beliau berada pada tahap empat yang memerlukan bantuan oksigen. Namun 24 jam kemudian, tahap itu berubah kepada lima iaitu komplikasi pelbagai organ. Beliau dimasukkan ke ICU.

“Ya, Allah! Rasa isi badan seperti disiat-siat. Panas dan sakitnya,” kata Rabiatul yang terpaksa menelan lebih 20 pil ketika rawatan bermula.

Mengikut doktor, keadaannya kritikal bahkan peluang beliau untuk hidup cuma 50-50. Keselamatan kandungannya juga belum tentu.

“Apa-apa prosedur kita dahulukan (selamatkan) ibu dulu, kemudian baru bayi. Tapi kita akan cuba selamatkan dua-dua.” Begitu pesan doktor.

Di ICU, Rabiatul juga terpaksa ‘ditidurkan’. Sebelum proses itu, beliau diminta mengucap kalimah syahadah. Pengalaman itu sungguh menakutkan. Apatah lagi, beliau melihat sendiri ada yang meninggal dunia.

Namun, Rabiatul hanya ditidurkan ketika proses intubasi menggunakan mesin pernafasan sebelum disedarkan semula.Tekaknya terasa perit. Ketika itu, kaki dan tangan beliau diikat bagi mengelakkannya meronta semasa proses membuang lendir.

“Setiap kali lendir ingin disedut keluar, nafas saya disekat. Rasa hilang nyawa,” katanya.

Rayu perut dibelah

Dalam menanggung azab sepanjang rawatan, Rabiatul bimbangkan anak dalam kandungan. Berulang kali beliau memberi isyarat kepada mereka supaya biarlah perutnya dibelah, keluarkan anaknya.

“Belahlah perut saya, selamatkan anak saya!”Hanya itu mampu diluahkannya, itupun melalui tulisan di kertas.

Barangkali tersentuh dengan rayuan itu, tiga doktor pakar hospital berkenaan memutuskan untuk membuat pembedahan bagi menyelamatkan anak Rabiatul. Akhirnya bayi perempuan seberat 1.78 kilogram lahir pada 28 Januari. Beliau bersyukur anaknya selamat.

“Air mata syukur saya mengalir. Saya terlalu letih, tertidur kembali,” katanya.

Namun, penderitaannya belum berakhir. Sakit yang ditanggung berganda. Rawatan Covid-19, kini sakit bersalin pula. Apatah lagi rawatan intubasi perlu diulang berikutan keadaannya belum stabil.

“Sungguh, saya berasa sangat teruji. Badan dipenuhi jarum. Di bahu, kanan dan kiri, leher, kedua belah kaki, kedua-dua tangan dan pelipat tangan. Semuanya dipenuhi jarum,” luah Rabiatul.

Hari-hari seterusnya begitu perit. Kaki dan tangannya bengkak seperti kaki gajah akibat masalah saluran darah. Jururawat juga memerah susu dari tubuhnya bagi mengelakkan keadaan lebih rumit.

Tubuhnya kaku. Mukanya membiru. Jururawat terpaksa membungkus beliau dengan lima helai selimut. Namun, beliau masih menggigil. Kesesakan nafasnya turut menjadi-jadi.

Selain itu, beliau berdepan pengalaman ngeri termasuk tiub oksigennya tersumbat. Mujur, perkara itu dapat diatasi segera.

Selepas dibenar keluar ICU, Rabiatul terasa lumpuh separuh badan dan tidak mampu berjalan. Terasa semput dalam kebanyakan masa.Pada 27 Februari, barulah beliau berpeluang bertemu anak yang telah sebulan lahir tanpa dapat ditatapnya.

“Betapa nikmat nyawa ini saya syukuri. Tiada apa yang boleh menggambarkan perasaan saya bertemu anak buat pertama kali selepas 31 hari melahirkannya,”kata beliau.

Selepas 42 hari bertarung nyawa, Rabiatul akhirnya dibenarkan pulang. Pesanan doktor disematnya erat-erat betapa Covid-19 bukan virus sembangan.

 


Pengarang :