Pasukan pengurusan jenazah lengkap berpakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan di Presint 20 Putrajaya pada 3 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Lebih 40 kematian hidap kencing manis, darah tinggi

SHAH ALAM, 17 JUN: Lebih 40 daripada 60 individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan menyebut kematian termuda akibat penyakit itu membabitkan wanita berusia 44 tahun di Hospital Tawau, Sabah.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata selain itu terdapat empat kematian akibat obesiti melibatkan dua lelaki dan dua wanita lingkungan umur 20-an dan 30-an.

Hanya dua negeri merekodkan kematian dua angka iaitu Selangor (20) dan Negeri Sembilan (10).

Johor mencatatkan sembilan kes, masing-masing empat kes di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Kuala Lumpur (tiga),masing-masing dua kes di Sarawak, Melaka, dan Kedah serta masing-masing satu kes di Kelantan, Perak, Terengganu, dan Pulau Pinang.

Jumlah berkenaan menjadikan keseluruhan 4,202 individu maut di seluruh negara akibat wabak sejak lebih setahun lalu.

Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 25 kluster baharu dengan 20 daripadanya membabitkan kluster tempat kerja. Secara keseluruhan terdapat 2,557 kluster dalam negara sejak pandemik dengan 1,762 kluster telah tamat dan 795 lagi masih aktif.


Pengarang :