Orang ramai mengimbas kod bar aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebelum menjalani Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Stadium Jugra, Kuala Langat pada 3 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Daftar SELangkah ke Saringan Komuniti, elak ditahan di sekatan jalan

BANTING, 3 JUN: Orang awam disaran mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebelum ke saringan komuniti bagi mengelak ditahan polis.

Pengurus program berkata individu hanya perlu menunjukkan kod bar kepada anggota bertugas di sekatan jalan raya (SJR) sebagai bukti sah.

“SELangkah bukan hanya mempercepatkan proses pendaftaran saringan tetapi membantu urusan ke lokasi saringan ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini.

“Jadi mereka tidak perlu risau sekiranya ditahan. Untuk program ini, kami sentiasa berhubung dengan IPD (ibu pejabat polis daerah) bagi memastikan segala urusan lancar,” kata Dr Atikah Athirah Abdul Wahid ketika ditemui hari ini.

Dr Atikah Athirah Abdul Wahid. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Susulan pelaksanaan PKP 3.0 pada Selasa lalu, bilangan SJR seluruh negara ditingkatkan kepada lebih 800 berbanding 600 sebelum ini.

Sementara itu, Dr Atikah berkata saringan ketika penguatkuasaan PKP ini tidak mendatangkan masalah ekoran kerjasama baik antara agensi kerajaan.

“Dari segi SOP (tatacara operasi piawai) semuanya berjalan lancar kerana banyak pihak yang bantu antaranya polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

“Semua anggota terlibat terutama dari aspek penjarakan fizikal. Kita tidak mahu peserta berkumpul sekali gus berisiko terdedah virus,” katanya.

Isnin lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan saringan komuniti anjuran Kerajaan Negeri diteruskan mengikut jadual sehingga 10 Jun meskipun PKP penuh dikuatkuasakan.


Pengarang :