Selangorkini
Jururawat menyuntik vaksin jenis Sinovac kepada orang awam di pusat pemberian vaksin Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam yang mula beroperasi pada 7 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Dahulukan suntik penduduk Lembah Klang, kurang separuh kes harian

SHAH ALAM, 13 JUN: Mendahulukan suntikan vaksin bagi penduduk Lembah Klang mampu mengurangkan 50 peratus kes harian Covid-19, kata pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO).

Dr Muhammad Farhan Rusli berkata penduduk Selangor dan Kuala Lumpur wajar menerima vaksinasi awal memandangkan lebih separuh kes harian direkodkan dari kawasan berkenaan.

“Tujuan vaksin untuk turunkan kadar jangkitan kepada individu sekali gus mengurangkan jumlah pesakit teruk atau dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Dr Mohammad Farhan Rusli. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jadi tumpuan harus diberi di kawasan penularan dan memandangkan kes tinggi di Lembah Klang, keutamaan kepada penduduk di sini berbanding negeri lain,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, Dr Farhan berkata Lembah Klang juga pusat ekonomi negara maka kesihatan pekerja perlu ditekankan bagi memastikan sektor berjalan lancar.

“Selangor penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, jadi pekerja di sektor ekonomi perlu divaksin awal supaya mampu mengekang penularan wabak,” katanya.

Sebelum ini, pakar virologi Prof Dr Sazaly Abu Bakar saran kerajaan mengubah strategi pemberian vaksin Covid-19 dengan menumpukan kawasan mencatat kes tinggi serta populasi ramai seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika itu strategi ketika ini terlalu pasif, menyebabkan pemberian vaksin tidak menghalang jangkitan daripada terus merebak.

 

 


Pengarang :