Usahawan tani Azmani Nurdin (tengah) turut bersama-sama pekerjanya memetik timun di kebun sayur miliknya di RPS Sungai Bilut, pada 25 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dana besar, teknologi baharu tarik orang muda jadi usahawan tani

SHAH ALAM, 12 JUN: Penyediaan tanah dan modal pusingan dalam projek perintis Kerajaan Negeri di bawah program jaminan bekalan makanan Pakej Kita Selangor 2.0 dapat menarik golongan muda menjadi usahawan tani.

Pengerusi Agropreneur Selangor (Agrosel) berkata tawaran dua bantuan terutama dana RM10 juta memberi bayangan projek di Bukit Changgang, Banting bakal menggunakan kaedah pertanian moden berasaskan teknologi yang diminati belia.

“Berdasarkan modal pusingan sebesar itu sudah pasti tidak menggunakan cara tradisional lagi, paling kurang pun kaedah fertigasi… lebih baik hidroponik dan aquaponik untuk mengeluarkan hasil dengan segera.

“Kita sambut baik langkah Kerajaan Negeri yang bukan sahaja dapat menjamin bekalan makanan tetapi pada masa sama tarik orang muda sebagai agropreneur,” kata Bukhari Bachok kepada SelangorKini.

Beliau berkata sebagai permulaan pihaknya mencadangkan sebahagian daripada 30 ekar disediakan untuk projek perintis itu diusahakan agropreneur sudah berjaya bagi mendapatkan hasil segera.

“Sebahagiannya diberi kepada individu baharu berkecimpung, mereka ini boleh bantu membantu satu sama lain,” katanya.

Program jaminan bekalan makanan antara 25 inisiatif Kerajaan Negeri dalam Pakej Kita Selangor 2.0 memfokus merancakkan sektor pertanian agro makanan, kecekapan rantaian bekalan dan melahirkan 1,000 agropreneur dalam lima tahun.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencadangkan tanah Kerajaan Negeri di Bukit Changgang dijadikan projek perintis kepada 30 agropreneur dengan purata satu ekar bagi setiap peserta.

PKPS akan menyediakan modal pusingan RM10 juta yang dikendalikan menerusi usahasama strategik bersama Agro Bank.


Pengarang :