Dato’ Zamani Ahmad Mansor bercakap ketika sidang media selepas sesi sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam kesembilan di Wisma Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 15 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Datuk Bandar Shah Alam fokus enam teras beri khidmat terbaik

SHAH ALAM, 15 JUN: Datuk Bandar Shah Alam yang baharu memfokus enam teras bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberi kepada penduduk dibawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Enam teras itu adalah pemantapan perkhidmatan perbandaran, pengukuhan kewangan dengan meningkatkan kutipan dan mengukuhkan pembangunan infrastruktur, mendekati pemegang taruh serta masyarakat dengan norma baharu, pembudayaan teknologi maklumat dan memperkasa sumber manusia.

Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata menerusi teras pertama beliau mahu MBSA memantau pengurusan sisa pepejal oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) di lapangan kerana menjadi sensitiviti masyarakat sekiranya kerja berkenaan tidak dilaksana dengan baik.

“Kerja penyelenggaraan jalan, lampu jalan, pemotongan rumput, pengindahan landskap, pembersihan longkang, parit erong, sapuan kawasan serta kutipan sampah pukal di kawasan pentadbiran MBSA perlu dibuat secara konsisten,” katanya selepas mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam kesembilan di sini, hari ini.

Menurut Zamani Ahmad, beliau juga mahu memastikan setiap projek dirancang rapi bagi memberi kesan baik selain memenuhi aspirasi Kerajaan Negeri mengukuhkan pembangunan infrastruktur di bandaraya itu.

“Harus disusuli kajian dan cadangan menyeluruh bagi mengekalkan kelestarian warga, sektor ekonomi tempatan, pemangkin segmen pelancongan domestik, penjagaan alam sekitar dan kesejahteraan bandar khususnya,” katanya.

Beliau berkata, MBSA juga akan menambah perkhidmatan dalam talian termasuk penggunaan kecerdasan buatan (artificial intelligence) seiring matlamat Selangor menjadi negeri pintar menjelang 2025 serta amalan norma baharu susulan pandemik Covid-19.


Pengarang :