Petugas Kesihatan Selcare membuat ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 10 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Desakan cucu dorong warga emas jalani saringan

SABAK BERNAM, 10 JUN: Desakan cucu mendorong seorang warga emas melakukan saringan Covid-19 buat kali pertama di Dewan Seri Sekinchan di sini, hari ini.

Heng Yang Koi, 75, berkata cucu memintanya menjalani saringan kerana tergolong berisiko tinggi meskipun tiada jangkitan dalam keluarga.

“Saya bersama-sama ahli keluarga lain datang melakukan saringan. Kerajaan Negeri mengambil pendekatan bagus menjaga kesihatan rakyat menerusi saringan percuma,” katanya ditemui pemberita di Dewan Seri Sekinchan di sini.

Bagi pesawah, Abdul Faris Mohd Bakri, 28, kehadirannya ke program saringan kerana tanggungjawab untuk bersama-sama memutuskan perebakan wabak.

“Saya banyak kerja sendirian di sawah tetapi kena sentiasa berjaga-jaga kerana varian baharu Covid-19 lebih merbahaya kerana penghidap tiada gejala. Orang ramai perlu manfaat program saringan percuma ini,” katanya.

Bagi peniaga, Khairul Rashid Paat, 44, kebimbangan peningkatan kes tanpa gejala kebelakangan ini mendorongnya menjalani saringan.

“Saya harap program saringan percuma diteruskan dari semasa ke semasa, tambahan pula pelbagai varian Covid-19 muncul serta lebih bahaya.” katanya.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di 56 DUN sejak 8 Mei hingga hari ini.

Sehingga Selasa lalu, sebanyak 95,561 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) diambil dengan 3,330 daripadanya disyaki positif Covid-19.

Lebih 100,000 penduduk Selangor hadir melakukan Saringan Komuniti secara percuma anjuran Kerajaan Negeri sejak diperkenal tahun lalu.


Pengarang :