Keadaan di unit rawatan rapi (ICU) di salah sebuah hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Doktor: Pesakit Covid-19 kategori 4, 5 ditidurkan bukan petanda nazak

SHAH ALAM, 13 JUN: Prosedur bius untuk menidurkan pesakit Covid-19 selain diminta mengucapkan kalimah syahadah bukan menandakan seseorang itu nazak atau tiada harapan hidup.

Ketua Jabatan Anestesiologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya berkata pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sememangnya kritikal dan satu cara merawat dengan ditidurkan untuk diberi bantuan pernafasan.

“Selalunya pesakit diberikan bius untuk koma atau ditidurkan adalah pesakit Covid-19 kategori empat atau lima.

“Mereka mengalami kegagalan pelbagai organ seperti paru-paru yang teruk dan tidak boleh mencapai tahap oksigen yang cukup selain kegagalan jantung atau buah pinggang,” kata Prof Dr Ina Ismiarti Shariffuddin seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata pesakit mendapat bekalan oksigen yang rendah (hypoxia) boleh mengakibatkan kegagalan organ misalnya, otak yang gagal berfungsi atau dipanggil ‘hypoxic ischaemic encephalopathy’.

“Pada saat kritikal pesakit perlu ditidurkan dan diintubasi. Ia ditidurkan semasa pesakit dimasukkan tiub pernafasan ke saluran trakeanya.

“Tiub pernafasan yang berada dalam saluran trakea adalah menyakitkan, jika tidak ditidurkan, pesakit tidak selesa dan akan melawan proses ventilasi, ini menyebabkan trauma kepada paru-paru” katanya.

Menurutnya, tempoh koma bergantung kepada pesakit, tahap keseriusan kesan viral, namun jika organ lainnya sudah tidak berfungsi, pesakit akan mengalami banyak komplikasi.

“Di ICU, pesakit akan diberikan bantuan oksigen dan ventilator, rawatan sokongan seperti ubat untuk mencegah darah beku dan ulser perut serta steroid untuk pesakit tertentu.

“Dalam tempoh ini, pesakit perlu diberikan sumber nutrien untuk tenaga meskipun dia dalam keadaan koma, sama ada melalui tiub di hidung atau salur darah. Pesakit akan dipantau rapi 24 jam,” katanya.


Pengarang :