RENCANAWAWANCARA

Doping: Tiada jalan singkat buat atlet muda

Oleh Shanika Abdullatib dan Zuriati Zulmi

Isu doping masih menjadi duri dalam industri sukan. Lebih membimbangkan apabila isu pengambilan bahan terlarang ini bukan sahaja melibatkan atlet senior tetapi mula mempengaruhi atlet muda di negara ini. Siri terakhir isu doping melibatkan atlet muda ini mengupas mengenai risiko dan impak serta sejauh mana perkara ini mendapat perhatian pihak berkenaan.

MELAKA, 10 JUN: “Tiada dan tidak akan pernah ada jalan singkat untuk berjaya dalam semua bidang termasuk sukan.”

Nasihat berbaur amaran daripada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria itu secara tidak langsung ditujukan kepada atlet muda, terutamanya yang menggunakan cara singkat untuk berjaya dalam sukan termasuklah penggunaan bahan terlarang.

Biarpun ada yang menjadikannya alasan untuk kekal cergas, terutamanya ketika berhadapan tekanan pemilihan, pengambilan bahan terlarang bukanlah penyelesaian malah kesannya amat buruk serta berpanjangan dalam karier seseorang atlet.

Iktibar kes Chong Wei

“Ambil iktibar apa yang berlaku pada Lee Chong Wei. Beliau yang berada pada tahap tertinggi pun terpaksa melalui saat-saat sukar dalam hidupnya kerana kelalaian dan tidak sedar perkara tersebut akan berlaku kepada dirinya.

“Bayangkan, beliau (Chong Wei) jatuh ke ranking 182 dunia dan terpaksa merangkak semula ke puncak. Itu iktibar bagi seseorang yang ada kekuatan dan boleh dibantu (untuk bangkit) sebab ada nama. Tapi kalau atlet muda, anda belum tentu akan dibantu persatuan atau mana-mana pihak,” katanya kepada Bernama.

Bekas jaguh perseorangan lelaki negara itu dikenakan hukuman penggantungan selama lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) setelah didapati menggunakan bahan terlarang jenis dexamethasone ketika Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada 2014.

Sumber bahan terlarang itu terkandung dalam kapsul gelatin di dalam suplemen makanan yang diambil bekas pemain nombor satu dunia tersebut.

Jelas Norza lagi, impak kegagalan ujian doping ke atas atlet bukan sahaja membawa padah kepada ahli sukan itu tetapi turut memberi kesan kepada banyak pihak terutamanya persatuan yang menaungi atlet tersebut.

Mengambil contoh Persatuan Bina Badan Malaysia (PBBM) yang mengambil masa lama untuk meraih semula keyakinan pelbagai pihak dalam industri selepas atletnya terpalit dengan isu doping

“Hanya disebabkan seorang dua atlet, keseluruhan proses pembangunan sukan itu akan terjejas. Walaupun dikenakan denda, itu belum tentu dapat membantu persatuan memulihkan kembali imejnya kerana ia melibatkan pandangan kesatuan atau badan antarabangsa sukan yang menghukum kita,” ulasnya.

Lucu pingat, memalukan

Berkongsi pandangan sama, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz mengakui isu doping tidak dipandang serius di peringkat kejurulatihan dan pengurusan meskipun atlet muda dalam lingkungan umur 14 hingga 21 tahun secara rasminya menjalani ujian doping sejak 2004 lagi.

“Kalau kita ingat seawal tahun 1996, kita telah menjalankan ujian anti doping di Sukma, yang mana (ketika itu) seorang atlet pecut telah diuji positif dan dilucutkan pingat emasnya.

“Biarpun ketika itu ujian tersebut hanyalah untuk kejohanan tertentu, bagi saya ia sangat serius kerana atlet kebangsaan peringkat senior turut terlibat dalam pertandingan Sukma,” jelas beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) dari 2017 hingga 2020.

Lebih malang, walaupun sudah bertahun lamanya, tindakan yang diambil hanyalah apabila berlaku kes positif. Walhal, satu kes positif yang dicatatkan semasa Sukma 1996 sudah cukup memberi satu isyarat jelas bahawa perkara tersebut harus diambil serius.

“Oleh itu bermula 2004, kita tidak teragak-agak untuk menguji pada bila-bila masa dan terbukti perkara ini bukan sahaja berlaku dalam pertandingan tetapi juga luar pertandingan,” katanya.

Tidak dinafikan, proses pensampelan doping berkemungkinan tinggi akan dapat mengesan seseorang itu melakukan pengambilan bahan terlarang terutamanya bagi mereka yang tidak sengaja mengambil ubat tanpa merujuk kepada doktor pasukan.

Disebabkan itulah beliau sentiasa bertegas agar semua yang terlibat (atlet, jurulatih, pengurus pasukan) dan pemegang jawatan tinggi dalam persatuan sukan untuk melihat perkara tersebut sebagai suatu yang serius di peringkat awal lagi.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata kepentingan program ujian doping sewajarnya tidak hanya melibatkan atlet senior dan pelapis, tetapi juga perlu diperluas hingga ke peringkat pembangunan iaitu atlet Sukma.

Ini kerana penyalahgunaan bahan terlarang dalam sukan boleh berlaku di mana-mana peringkat atlet, tegas Dr Ramlan.

Sabotaj atlet

Tidak menolak doping turut digunakan pihak yang ingin melakukan sabotaj ke atas atlet dengan menyalurkan bahan terlarang tersebut namun menurutnya perkara itu sukar dibuktikan.

Ini termasuklah kesukaran mendapatkan keterangan daripada atlet itu sendiri.

“Kita tidak boleh tuduh sewenang-wenangnya. Lebih merumitkan keadaan, kita tidak ada satu struktur di bahagian undang-undang negara yang memberi perlindungan kepada para atlet atau jurulatih yang mana mereka boleh mengadu tanpa ancaman daripada mana-mana pihak,” katanya.

Menurutnya, perbincangan berkaitan undang-undang pernah diadakan sebelum ini namun apa yang paling utama sekarang ialah membetulkan mekanisme sedia ada.

“Tak perlu undang-undang baharu. Jika ada jenayah kolar putih yang mengedar dan menjual bahan terlarang kepada atlet muda yang terlibat dalam program di bawah kerajaan, kita sudah ada undang-undang yang boleh digunakan kepada mereka yang mengeksploitasi atlet negara.

“Kena lebih tegas kerana kita membelanjakan berjuta-juta ringgit duit rakyat untuk atlet berlatih, bertanding dan sudah tentu hasil yang dimahukan adalah prestasi mereka yang tulen, yang boleh jadi aspirasi kepada rakyat,” katanya.

Justeru, antara langkah proaktif yang dilakukan adalah dengan menetapkan semua atlet kebangsaan hanya boleh mendapatkan ubat-ubatan daripada pegawai perubatan di ISN sahaja.

Ini memandangkan mereka lebih arif mengenai kandungan ubat yang boleh menjejaskan ujian doping atlet yang menyertai pertandingan.

Apapun tegas Dr Ramlan, masalah itu hanya dapat diatasi sekiranya atlet mengubah sikap mereka dalam penjagaan diri untuk membolehkan mereka bertanding secara ‘bersih’.

Beberapa kes doping membabitkan atlet utama kebangsaan:

1. Kejohanan Dunia, Scotland 2014: Datuk Lee Chong Wei (Badminton) – Dexamethasone. Hukuman: Gantung lapan bulan
2. Sukan Asia Incheon, 2014: Tai Cheau Xuen (Wushu) – Sibutramine. Hukuman: Gantung empat bulan
3. Sukan Komanwel New Delhi 2010: Mohd Amin Jamaluddin (Ragbi) – Kanabis. Hukuman: Gantung enam bulan.
4. Sukan Asia, Busan 2002: Mohd Firdaus Abdul Ghani, Mohd Hanif Azman, Mohd Aznan Raslan (Sepak takraw) – Morfin. Hukuman: Gantung dua tahun.
5. 2005: Amirul Hamizan Ibrahim (Angkat berat) – Anabolic steroid. Hukuman: Gantung dua tahun.

 

– BERNAMA


Pengarang :