Orang ramai menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 25 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dr Dzulkefly kecewa vaksin penduduk Selangor ‘masih tercorot’

SHAH ALAM, 22 JUN: Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) kecewa pemberian vaksin kepada penduduk di negeri itu ‘masih tercorot’.

Mengikut carta nisbah prestasi pemberian vaksin, pendaftaran dan kematian yang dikongsi beliau di Twitter, hanya 17.15 peratus penduduk telah menerima suntikan setakat 20 Jun lalu.

Sedangkan carta sama menunjukkan Selangor mencatat jumlah peratus kematian akibat Covid-19 tertinggi bagi tempoh sepuluh hari.

“Selangor ‘masih tercorot’ meskipun Sultan Selangor telah merakamkan rasa kecewa dan menegur Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF),” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap kepada media pada program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau yang juga bekas menteri kesihatan turut mendakwa peratusan pemberian vaksin di Selangor tidak banyak berubah sejak mula membangkitkan perkara itu pada 28 Mei lalu.

Pada 8 Jun lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk penduduk negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terkejut apabila Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19, bukan 2.9 juta seperti dakwaan sebelum ini.

Baginda juga menyifatkan nisbah jumlah pemberian dos vaksin tidak adil dan tidak seimbang dengan kepadatan penduduk Selangor yang berjumlah kira-kira 6.5 juta.


Pengarang :