AGENDANASIONAL

Duduk rumah jika tiada urusan, elak jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 2 JUN: Orang ramai dinasihati supaya tidak keluar rumah tanpa urusan untuk mengelak dijangkiti seterusnya menyebarkan virus Covid-19, kata pelakun Nabila Huda.

Beliau yang terkesan kerana didapati positif wabak tersebut baru-baru ini berkata sifat bertanggungjawab itu penting bagi menghindari kejadian tidak diingini terutama kepada mereka yang tinggal bersama kanak-kanak atau warga emas.

“Kita perlu ambil langkah berjaga-jaga. Saya selalu fikir jika melanggar tempoh kuarantin dengan keluar dan berjumpa ramai orang, apa akan jadi kepada orang itu?

“Saya tidak mahu menjadi punca kematian seseorang. Justeru, apa sahaja yang kita lakukan perlu fikirkan kesan kepada orang lain,” kata pelakon drama Covid oh Covid menerusi rakaman Bual Bicara SelangorTV.

Mengulas berhubung segelintir pihak yang mengambil sikap sambil lewa, beliau berkata individu tersebut mungkin akan sedar jika diri dan keluarga mereka dijangkiti serta merasai sendiri keperitan dijangkiti virus berkenaan.

“Mereka wajar diletakkan di PKRC MAEPS (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang) dan berada dalam kalangan pesakit yang positif,” selorohnya.

Selain itu, Nabila Huda yang bakal menerima vaksin pada 6 Jun meminta mana-mana pihak yang sayangkan nyawa dan orang sekeliling mengambil suntikan berkaitan serta menghindari golongan antivaksin.


Pengarang :