Petugas kesihatan menjalankan ujian calitan kepada orang ramai dalam Saringan Komuniti Covid-19 Fasa 3 Percuma DUN Kajang di Dewan Seri Cempaka, Kajang pada 26 Jun 2021. Foto ASRI SAPFIE/MEDIA SELANGOR
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Kajang cadang saringan bersasar di lokaliti kes tinggi

KAJANG, 26 JUN: Saringan bersasar di lokaliti mencatat jangkitan tinggi Covid-19 akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Wakil rakyatnya Hee Loy Sian berkata inisiatif itu akan dijalankan selepas hasil keputusan Saringan Komuniti fasa tiga hari ini dinilai.

“Contoh jika kawasan tertentu mencatat kes positif tinggi, semua penduduk di komuniti tersebut diwajibkan melakukan saringan.

“Tujuannya untuk mengesan mereka yang positif tetapi tidak bergejala dan masih keluar melakukan aktiviti harian,” katanya pada Saringan Komuniti fasa tiga di Dewan Seri Cempaka hari ini.

Saringan Komuniti fasa tiga anjuran Kerajaan Selangor bermula Sabtu lalu di DUN Seri Setia dan Taman Medan diikuti Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer manakala Kajang hari ini selain Hulu Klang serta Bukit Antarabangsa esok.

EXCO Kerajaan Negeri itu juga berkata pihaknya menyasarkan memeriksa 2,000 peserta termasuk penduduk di Semenyih, Balakong, Dusun Tua dan Sungai Ramal.

“Individu disyaki positif hari ini dipakaikan gelang merah jambu selain menjalani saringan kit ujian pantas polimeras masa nyata (rt-PCR) bagi mengesahkan status jangkitan serta dibekalkan kit khas kuarantin di rumah,” katanya.


Pengarang :