Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin AstraZeneca yang mengutamakan OKU dan warga emas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 1 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Empat juta rakyat Selangor perlu divaksin bagi capai imuniti kelompok

SHAH ALAM, 9 JUN: Sekurang-kurangnya empat juta rakyat Selangor perlu menerima suntikan vaksin agar matlamat imuniti kelompok dapat dicapai, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah itu adalah 80 peratus daripada 6.5 juta anggaran keseluruhan penduduk di negeri ini.

“Jumlah itu tidak termasuk kanak-kanak berusia bawah 18 tahun yang mana belum ada bukti kukuh golongan ini layak untuk disuntik vaksin.

“Justeru, jika kita berjaya mencapai angka 80 peratus, sekurang-kurangnya kita dapat melindungi 20 peratus lagi orang yang tidak mendapat suntikan sekali gus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ‘Forum Covid-19: Vaksin Mana Yang Terbaik’ menerusi siaran langsung di Facebook malam tadi.

Turut menampilkan Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO), Prof Madya Dr Mohammad Farhan Rusli dan Ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Dato’ Dr Khalid Ibrahim.

Dr Siti Mariah turut mengulas berhubung vaksin yang mahu dibeli Selangor sama sekali tidak bermaksud memotong barisan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksana Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan Kerajaan Negeri mahu mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat disamping membantu kerajaan menyelesaikan PICK.

Pada 18 Januari, Selangor mengumumkan kelulusan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk pembelian vaksin.


Pengarang :