Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika pengumuman keputusan E-Bazar Raya dan pelancaran Sidec TV secara maya pada 23 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Empat kempen e-dagang Selangor hasil lebih RM2 bilion kesan ekonomi

SHAH ALAM, 23 JUN: Empat kempen e-dagang berjaya menghasilkan kesan ekonomi RM2.95 bilion kepada negeri dan RM144.7 juta jualan terus.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kempen membabitkan pelaburan RM7 juta turut menarik 294,119 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk 74,837 peniaga baharu.

Jelasnya, kempen e-bazar Raya Selangor 2020 merekodkan kesan ekonomi RM341 juta dengan nilai jualan RM11.7 juta diikuti e-Bazar 11.11 mencatatkan RM1.040 bilion manakala RM32.5 juta jualan terus.

Sejumlah RM619 juta kesan ekonomi dan RM35.5 juta nilai jualan direkodkan pada kempen e-bazar Tahun Baharu Cina Selangor 2021 dan terbaharu e-bazar Raya Selangor mencatatkan RM954 juta manakala RM65 juta nilai jualan.

“Ini membolehkan ekonomi negeri terus bergerak sambil mewujudkan saluran penjualan alternatif agar perniagaan tempatan dapat bertahan terutama di bawah pelbagai sekatan akibat wabak Covid-19.

“Adalah diharapkan usaha pendigitalan dipergiatkan untuk memastikan agar tiada yang ketinggalan dalam arus pertumbuhan ekonomi digital Malaysia yang semakin giat berkembang,” katanya pada sidang media menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Menurut Amirudin, kempen e-dagang itu bukan sahaja memberi insentif kepada peniaga menghidupkan semula perniagaan dan menyumbang ekonomi negeri tetapi menggalakkan peniaga kecil menjual dalam talian.

“Penjualan dalam talian adalah langkah penting dalam proses pendigitalan yang seterusnya akan menyumbang kepada perkembangan industri logistik, ekonomi sampingan, pemasaran digital dan mempopularkan teknologi Fintech,” katanya.


Pengarang :