Kakitangan perubatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur mengenakan sut perlindungan diri (PPE) susulan kenaikan kes Covid-19 ketika tinjauan pada 16 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Enam lagi kes positif Covid-19 libatkan varian Beta, Delta dikesan

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan enam lagi kes positif Covid-19 melibatkan Varian Yang Membimbangkan (VOC) di negara ini bagi tempoh 20 hingga 22 Jun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu melibatkan lima kes varian Beta (B.1.351) dan satu kes varian Delta (B.1.617.2).

“Bagi varian Beta, dua kes dikesan di Pulau Pinang dan masing-masing satu kes di Sabah, Kedah dan Perlis, manakala satu kes varian Delta di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini

Beliau berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti virus melibatkan VOC dan varian yang perlu diwaspada (VOI) adalah sebanyak 189 kes.

Katanya daripada jumlah yang dikesan itu, 173 kes adalah VOC manakala 16 kes VOI.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebarang permohonan dan rayuan untuk memendekkan tempoh kuarantin bagi mereka yang masuk ke negara ini, perlu melalui proses penilaian sangat ketat.

“Pelbagai rayuan diterima Jawatankuasa Home Surveillance Order (HSO) di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), dan rayuan ini rata-ratanya berkaitan permohonan pengecualian dan pemendekan tempoh kuarantin oleh pengembara pulang dari luar negara atas sebab tertentu.

“KKM memahami pelbagai situasi peribadi yang mereka hadapi, namun pada masa sama KKM perlu kekal serius dalam pelaksanaan dasar kuarantin ini bagi memastikan risiko jangkitan Covid-19 dari luar negara dapat diminimakan,” katanya.

Malaysia sebelum ini melanjutkan tempoh kuarantin wajib kepada 21 hari ke atas pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan di stesen kuarantin ditetapkan kerajaan.

Pengembara dari lain-lain negara pula dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin, namun, tempoh kuarantin itu akan dilanjutkan selama tujuh hari sekiranya terdapat keperluan berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan kepada pengembara tersebut pada hari ke-14.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pelanjutan tempoh kuarantin itu sangat penting bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dari luar negara tidak berlaku terutamanya melibatkan VOC dan VOI.

“Varian ini didapati lebih cepat merebak serta menyebabkan risiko kematian lebih tinggi, malahan ini juga merupakan amalan yang turut dijalankan oleh kebanyakan negara lain,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :