Mohd Fakhrulrazi ketika melakukan tinjauan di sebuah rumah mangsa kejadian ribut di Jalan Jambu, Meru petang semalam. Gambar Ihsan Facebook Pusat Khidmat Rakyat DUN Meru
AGENDANASIONAL

Enam rumah rosak dilanda ribut siap dibaiki esok

SHAH ALAM, 22 JUN: Enam rumah di Meru yang rosak teruk akibat dilanda ribut minggu lalu dijangka siap dibaiki sepenuhnya esok bergantung kepada keadaan semasa.

Wakil rakyat Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata buat masa ini tiga rumah telah siap dibaiki dan selebihnya dalam proses baik pulih secara berperingkat.

“Selain kediaman yang kritikal dan perlu segera dibaiki, sebahagian rumah yang mengalami kerosakan kecil juga selesai menjalani proses baik pulih seperti bumbung tercabut.

“Setakat ini, dianggarkan RM20,000 peruntukan telah dibelanjakan untuk semua rumah terlibat dan kos ini termasuk dengan kerja pembersihan yang dijalankan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Tambah Mohd Fakhrulrazi lebih 50 mangsa membuat permohonan tabung bencana yang dipohon menerusi pejabat daerah.

“Namun proses permohonan ini mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan sebelum diluluskan dan mungkin berlaku kelewatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Khamis lalu, beberapa rumah di sekitar Jalan Jambu, Taman Meru 3, Taman Desa Permai, Jalan Hamzah Alang, Kampung Budiman, Jalan Nanas dan Jalan Limau mengalami kerosakan termasuk bumbung tercabut selain dihempap pokok.

Bagaimanapun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.


Pengarang :