Warga emas Maimun Abu Bakar, 78, (berkerusi roda) dibantu adiknya Sarimah Abu Bakar, 55, (kanan) ketika dijemput oleh petugas Pejabat Daerah Marang untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Utama Majlis Daerah Marang bagi menerima dos pertama vaksin Covid-19 ketika ditemui di Kampung Seberang Marang pada 21 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Enggan terpengaruh berita palsu, warga emas nekad terima vaksin

MARANG, 21 JUN: Sebelum ini apabila disebut sahaja tentang vaksin, Maimun Abu Bakar akan gementar dan takut kerana terpengaruh dengan pelbagai berita palsu yang disebarkan, sehinggakan beliau tidak hadir pada janji temu suntikan vaksin Covid-19, awal bulan lepas.

Namun pendirian warga emas berusia 78 tahun itu berubah, setelah dipujuk ahli keluarga dan mendengar pengalaman tiga daripada lima orang anaknya, yang menerima kedua-dua dos suntikan vaksin tanpa mengalami kesan sampingan yang serius.

Apatah lagi Jumaat lepas, wakil daripada Pejabat Daerah Marang menghubunginya semula, bukan sekadar untuk memujuk malah menawarkan bantuan pengangkutan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Justeru Maimun yang mempunyai 24 cucu dan 15 cicit itu, tidak ingin lagi melepaskan peluang kedua yang diberikan itu dan terus bersetuju untuk menerima dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech, semalam.

“Sebenarnya giliran tok pada 4 Mei lepas, tapi tok minta tangguh sebab tiada semangat untuk pergi vaksin dan dengar macam-macam cerita, termasuk ada yang sakit selepas disuntik. Lagipun masa itu bulan puasa jadi tok tidak larat nak pergi mana-mana.

“Tetapi bila tengok ramai sahaja yang divaksin tiada apa-apa masalah pun, jadi tok minta adik (Sarimah Abu Bakar, 55,) untuk daftarkan semula nama tok di telefon (aplikasi MySejahtera),” katanya ketika ditemui Bernama di PPV Dewan Utama Majlis Daerah Marang semalam.

Seperti dijanjikan, warga emas itu dijemput kakitangan Pejabat Daerah Marang, menggunakan kenderaan serba guna (MPV) pada pukul 10 pagi semalam di rumahnya di Kampung Seberang Marang dan dibawa ke PPV Dewan Utama Majlis Daerah Marang, kira-kira tiga kilometer dari kediamannya.

Beliau yang hadir berkerusi roda kerana telah uzur, selain menghidap kencing manis serta mempunyai masalah pendengaran sejak setahun lalu itu, bersyukur kerana proses vaksinasi berjalan lancar dan mengambil masa kurang 30 minit.

“Lagi tok gembira apabila adik tok (Sarimah) juga terima suntikan vaksin bersama tok hari ini (semalam). Inilah kenangan yang tidak akan kami lupakan dan kami pun ada tangkap gambar bersama tadi,” katanya sambil tersenyum.

Sementara itu Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang Mohd Kamal Abdul Rahman berkata, pihaknya membuka sebuah bilik gerakan bagi melancarkan proses vaksinasi di daerah itu dan menyediakan tiga kenderaan iaitu masing-masing sebuah MPV, pacuan empat roda dan van, bagi memudahkan penerima yang menghadapi masalah pengangkutan.

“Setiap hari petugas di bilik gerakan akan menghubungi penerima vaksin sehari atau dua hari sebelum janji temu, untuk mengingatkan mereka dan bertanya sekiranya mereka perlukan kenderaan. Senarai nama mereka kami terima daripada Pejabat Kesihatan Daerah Marang.

“Kami juga minta keempat-empat pejabat DUN (Dewan Undangan Negeri) dan agensi kerajaan lain di daerah ini seperti Jabatan Kerja Raya Marang, untuk menyediakan kenderaan juga. Ini kerana setiap hari mesti ada penerima vaksin yang perlukan kenderaan. Macam hari ini sahaja lima orang penerima yang akan kita jemput di rumah. Kebanyakan mereka adalah warga emas dan penduduk di kawasan yang agak jauh dari PPV,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini dua PPV dibuka di Marang iaitu di Dewan Utama Majlis Daerah Marang dan Dewan Sivik Bukit Payong, yang masing-masing mempunyai kapasiti sehingga 1,000 penerima vaksin sehari.

“Setakat ini PPV Dewan Utama Majlis Daerah Marang setiap hari memberi suntikan kepada kira-kira 600 penerima vaksin (300 penerima dos pertama dan 300 penerima dos kedua), manakala PPV Dewan Sivik Bukit Payong yang baru dibuka 1 Jun, setakat ini memberi suntikan kepada 300 penerima bagi dos pertama setiap hari,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :