Penghuni Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Syed Ahmad Syed Zin, 78, ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 9 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Enggan terpengaruh, warga emas padam mesej berita palsu vaksin

KUANTAN, 9 JUN: Enggan terpengaruh dengan maklumat palsu mengenai suntikan vaksin Covid-19, seorang warga emas bertindak memadam mesej dan menyekat nombor telefon individu yang menghantar maklumat itu kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Pesara kerajaan Syed Ahmad Syed Zin, 78, berkata dia tidak mahu terpedaya dengan berita palsu seumpama itu kerana percaya vaksin adalah kaedah terbaik dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

“Mesej mengarut yang diterima pun saya padam, kalau kerap sangat mereka hantar saya terus sekat, kalau mereka tidak mahu terima suntikan tidak perlu mempengaruhi dan menakutkan orang lain.

“Saya ada penyakit darah tinggi dan kencing manis, namun Alhamdulillah sejak menerima suntikan pertama pada 3 Mei lepas, saya tidak mempunyai apa-apa kesan sampingan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer di Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang hari ini.

Seorang lagi warga emas, Zam Badu melahirkan rasa syukur dan gembira apabila secara kebetulan melengkapkan suntikan dos kedua vaksin pada hari lahirnya yang ke-74 tahun hari ini.

Bagaimanapun dia berkata, vaksinasi lengkap itu bukan ‘tiket’ untuk tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kita masih kena jaga diri sendiri dan orang lain, jangan keluar jika tidak perlu…meskipun dah menerima vaksin risiko tetap ada. Bagi rakan-rakan seusia saya, tidak perlu bimbang kerana selepas suntikan tidak mempunyai apa-apa kesan,” katanya yang terpaksa bertongkat akibat kesan kemalangan motosikal pada 2014.

Sementara itu, Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin Daerah Kuantan Dr Rashidah Abdul Rahman berkata seramai 254 individu daripada 14 pusat jagaan warga emas bersetuju dan layak menerima suntikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurut beliau, pemberian vaksin hanya dilakukan selepas mendapat persetujuan daripada waris kesemua penghuni berkenaan terlebih dahulu.

“Sememangnya ada yang menolak untuk menerima vaksin, tetapi kita akan cuba sedaya upaya memberi penerangan tentang kepentingan vaksin, sekiranya mereka masih enggan kami akur, kerana tiada paksaan untuk menerima vaksinasi,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :