Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menggantung semua perkhidmatan trennya bermula esok
AGENDANASIONAL

ERL gantung sementara khidmat ke lapangan terbang

SHAH ALAM, 3 JUN: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menggantung semua perkhidmatan tren mulai Jumaat (esok) sehingga notis lanjut susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Syarikat itu berkata keputusan diambil berikutan hampir tidak ada perjalanan udara serta bilangan pengguna perkhidmatan tren terhad sejak lebih setahun lepas.

“Purata pengguna harian ERL merosot sebanyak 69 peratus pada 2020 berbanding 2019. Dengan pelaksanaan PKP penuh, purata penumpang terus menjunam sebanyak 89 peratus pada tahun ini.

“Bagi memastikan ERL mampu meneruskan perkhidmatan sebaik sahaja PKP ditamatkan dan kekal mampan dari segi kewangan, syarikat dengan penuh rasa kesal terpaksa menggantung sementara perkhidmatannya sehingga notis lanjut,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Kenyataan itu meminta mereka yang terpaksa melakukan perjalanan kerana perkara mustahak sepanjang tempoh PKP penuh mengambil langkah alternatif untuk pengangkutan.

“Maklumat berhubung opsyen pengangkutan dari setiap stesen ERL dan kemas kini perkhidmatan boleh didapati menerusi www.KLIAekspres.com, Facebook serta Twitter KLIA Ekspres.

“Bagi mereka yang memerlukan bantuan lanjut sila hubungi pertanyaan pelanggan di talian 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 6 petang),” katanya.


Pengarang :