Dr Siti Mariah Mahmud ditemui media ketika lawatan ke program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Stadium MBSJ Serdang Jaya pada 25 Jun 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO gesa pusat vaksin skala kecil diwujudkan di Puchong

SERI KEMBANGAN, 25 JUN: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) diminta mewujudkan pusat pemberian vaksin (PPV) berskala kecil di Puchong bagi memudahkan penduduk mendapatkan suntikan pelalian.

EXCO kesihatan awam berkata ramai penduduk sekitar khususnya warga emas gagal menghadiri janji temu kerana kawasan ditetapkan jauh dari kediaman masing-masing.

“Kita terima laporan golongan tersebut yang mendapat tarikh suntikan tidak hadir susulan mereka perlu ke PPV mega seperti di Sunway Pyramid, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam serta Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC).

“Justeru, kita mohon CITF adakan satu PPV kecil di Puchong bagi menampung kepadatan penduduk,” kata Dr Siti Mariah Mahmud selepas meninjau saringan Covid-19 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Stadium MBSJ Serdang Jaya dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Negeri Seri Serdang itu berkata pihaknya menawarkan insentif RM200 kepada individu positif yang berjaya melengkapkan tempoh kuarantin wajib selama 10 hari.

Menurutnya, ia sebagai galakan untuk kekal berada di rumah atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) selain meringankan beban kewangan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka hanya perlu mengemukakan surat tamat kuarantin kepada pejabat pusat khidmat dan potong gelang pink Covid-19 di klinik kesihatan,” katanya menambah kira-kira 300 individu telah mendapat manfaat sejak dilaksana awal PKP tahun lalu.


Pengarang :