EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail mengunjungi kedai aksesori telefon bimbit, Cikgu Gadget di Sungai Besar ketika lawatan kembara sukses Hijrah pada 21 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Manfaat moratorium Hijrah untuk masa depan

SHAH ALAM, 10 JUN: Usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang menikmati moratorium pembayaran pinjaman selama satu setengah bulan harus memanfaatkannya dengan melakukan persediaan berdepan situasi masa depan.

EXCO pembangunan usahawan berkata inisiatif dalam Pakej Kita Selangor 2.0 itu akan memberi kelegaan kepada usahawan yang peniagaannya berdepan keadaan tidak menentu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Moratorium itu bermula 1 Julai dan tiada kutipan untuk tempoh enam minggu memandangkan pembayaran dibuat secara mingguan. Diharapkan mereka rancang sebaiknya sumber sedia ada kerana kita tidak tahu sampai bila situasi ini,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Pakej bernilai RM551.56 juta itu bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

 


Pengarang :