Farah Ann menjadi gimnas artistik wanita pertama di negara ini yang layak ke Olimpik selepas 20 tahun. Foto Instagram Farah Ann Abdul Hadi
AGENDASUKANKINI

Farah Ann tidak sabar ke Olimpik, patuh protokol ketat elak wabak

SHAH ALAM, 29 JUN: Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi tidak sabar beraksi buat pertama kali dalam temasya Olimpik, Julai depan di sebalik kebimbangan peningkatan kes Covid-19.

Menurut atlet Selangor itu, beraksi di pentas sukan paling berprestij adalah impiannya sejak kecil dan tidak mahu melepaskan peluang dengan membuat pelbagai persiapan.

Farah Ann menjelaskan antara persiapannya termasuk mematuhi protokol kesihatan ketat pihak berkuasa Jepun yang menganjurkan Olimpik pada 23 Julai hingga 8 Ogos, antaranya perlu mengambil dua dos suntikan vaksin.

Beliau sudah melengkapkan suntikan vaksin pada 4 Mei lalu.

“Dari segi latihan saya teruskan seperti biasa di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil yang turut menetapkan tatacara operasi piawai ketat bagi mengelakkan jangkitan.

“Saya akan berlepas ke Jepun 17 Julai depan, sudah semestinya saya tidak sabar beraksi di Olimpik yang menjadi impian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Farah Ann mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Pencapaian itu juga menamatkan penantian rakyat Malaysia selama 20 tahun untuk melihat gimnas wanita negara kembali beraksi di pentas Olimpik, selepas Au Li Yen pada Sukan Olimpik 2000 di Australia.


Pengarang :