Petugas kesihatan menguruskan jenazah pesakit Covid-19. Foto Facebook KKM
AGENDANASIONAL

Golongan muda ada penyakit, obesiti antara 109 maut akibat Covid-19

SHAH ALAM, 5 JUN: Tujuh individu berusia antara 20 hingga 40 tahun yang menghidap pelbagai penyakit termasuk obesiti antara 109 kematian akibat Covid-19 yang direkodkan hari ini.

Ketua pengarah kesihatan menerusi kenyataan memaklumkan semua warga tempatan itu adalah dua wanita dan lima lelaki berusia antara 27 hingga 39 tahun.

Jelas Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mangsa menghidap penyakit tiroid, dislipidemia, kencing manis, darah tinggi, obesiti, jantung dan cerebral palsy (kelumpuhan otak).

Kematian melibatkan wanita berusia 38 dan 39 tahun manakala lelaki berusia antara 27 hingga 36 tahun. Kes direkodkan di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Kelantan.

Baki 102 kematian pula merupakan individu berusia 41 hingga 98 tahun termasuk tiga warga asing.

Hari ini Selangor merekodkan 33 kematian diikuti Johor (22), Kuala Lumpur (12), Negeri Sembilan (sembilan), Kelantan (enam), Kedah dan Melaka (lima), Perak (empat), Labuan (tiga), Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang (dua) serta Terengganu dan Wilayah Persekutuan (satu).


Pengarang :