Orang ramai menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 25 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hanya 33.8 peratus OKU daftar vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Jumlah pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) setakat semalam adalah seramai 195,395 orang atau 33.8 peratus berbanding bilangan keseluruhan 577,352 OKU berdaftar di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata angka itu masih rendah, maka advokasi dan kesedaran serta kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) akan dipergiatkan dalam usaha membantu mendaftarkan golongan berkenaan.

“Ia melibatkan dua isu, satu mengenai pendaftaran dan kedua mengenai pemberian vaksin. Harapan saya agar lebih ramai golongan OKU segera membuat pendaftaran untuk mendapatkan vaksin dan kami akan membantu mendaftarkan golongan ini dengan kerjasama NGO.

“Di samping itu, perbincangan juga sedang dibuat untuk memberikan vaksinasi secara pandu lalu kepada golongan OKU. Alhamdulillah, Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia yang dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV), dapat membantu golongan ini mendapatkan vaksin dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Penyerahan Bakul Makanan Kepada Kumpulan Sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Sarawak hari ini.

Beliau diiringi Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang juga presiden OKU Sentral.

Rina berkata dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi rakyat, ia tidak seharusnya tertumpu di PPV semata-semata sebaliknya perlu ada pihak yang turun padang memberikan suntikan vaksin khususnya kepada golongan yang memerlukan termasuk OKU.

“Ini sudah pasti akan beri manfaat kepada OKU yang telah berdaftar untuk menerima vaksin, mereka tidak perlu bergerak jauh untuk dapatkan vaksin… kita harap akan ada lebih banyak pasukan seperti ini,” katanya.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata sebanyak 30 trak bergerak vaksinasi akan diaktifkan di kawasan PPR dan tapak pembinaan di ibu negara, bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin Covid-19.

Mengenai program hari ini yang merupakan kerjasama KPWKM dengan Persatuan OKU Sentral, selain menyantuni golongan itu susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula hari ini hingga 14 Jun, sumbangan barangan keperluan harian turut diberikan kepada golongan memerlukan.

Sebanyak 500 bakul makanan turut diserahkan kepada Persatuan OKU Sentral untuk diagihkan kepada golongan OKU yang memerlukan terutamanya daripada golongan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :