Asmawi (kiri) bersama Syarifuddin (kanan) yang pernah mendapat didikannya ketika pelumba itu berusia 15 tahun.
AGENSISELANGOR

Hargai komitmen Selangor naik taraf litar lumba rakyat

SHAH ALAM, 14 JUN: Pengendali litar lumba rakyat di Kuala Selangor menghargai bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM300,000 untuk menaik taraf litar berkenaan.

Asmawi Maskor berkata peruntukan diluluskan tahun lalu itu digunakan memperbaiki trek selain kemudahan di situ supaya pelumba dapat berlatih dengan lebih selesa dan selamat.

“Kami gembira dengan komitmen kerajaan menaikkan sukan lumba motosikal di Selangor, malah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat litar ini pada penghujung tahun lalu untuk melihat perkembangannya.

“Seperti kita sedia maklum ramai jaguh dilahirkan di situ termasuk Syarifuddin Azman yang menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Sepanyol semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Asmawi yang juga bekas jurulatih Syariffuddin berkata beliau berbangga melihat pencapaian bekas anak didiknya dan berharap menjadi contoh kepada golongan muda lain.

“Dia seorang gigih berusaha dan tidak pernah mengenal erti kalah walaupun latihan diberikan agak ‘keras’,” katanya.

Litar lumba rakyat di Kuala Selangor yang melahirkan ramai jaguh sukan motosikal termasuk Syarifuddin Azman yang menjadi juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Sepanyol pada 13 Jun 2021.

Pengarang :