Foto Facebook Hospital Ampang
AGENDANASIONAL

Hospital Ampang ditukar status rawat pesakit Covid-19 sepenuhnya

SHAH ALAM, 23 JUN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memutuskan pertukaran status Hospital Ampang daripada hospital hibrid Covid-19 kepada hospital penuh merawat wabak berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes harian yang tinggi terutama melibatkan pesakit kategori tiga dan ke atas secara berterusan.

“Sehubungan itu, semua rujukan pesakit bukan Covid-19 dari fasiliti lain ke Hospital Ampang perlu dihentikan buat sementara waktu mulai hari ini.

“Jabatan memohon kerjasama hospital dan agensi kesihatan lain menerima rujukan pesakit bukan Covid-19 sedia ada daripada hospital ini agar rawatan dapat diteruskan,” menurut surat bertarikh 22 Jun 2021.

Menurutnya, pertukaran status juga disebabkan purata penggunaan katil di hospital zon wilayah tengah melebihi kadar maksimum sehingga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) turut menghadapi kesukaran untuk merujuk pesakit.

“Secara keseluruhan, terdapat dua hospital yang akan beroperasi sebagai Hospital ‘Full Covid-19’ di Selangor iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang,” katanya.


Pengarang :