Dr Gunarajah R George bersama tenaga pengajar dan murid yang terpilih mengikuti Program Sinar Ilmu Harapan Sentosa di pusat khidmatnya pada 1 Mei 2021. Foto ihsan Dr Gunarajah R George
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Ibu bapa bersyukur kelas percuma DUN Sentosa bantu anak minat belajar

SHAH ALAM, 25 JUN: Meskipun hanya dua bulan lebih mengikuti program Sinar Ilmu Harapan Sentosa, ibu bapa gembira melihat perkembangan anak yang semakin minat untuk belajar.

Seorang ibu, Tan Ai Keng, 44, berkata beliau gembira melihat anaknya, Ooh Sin Yon, 10, kini fasih berbahasa Melayu dan tahu menggunakan suku kata untuk mengeja dalam bahasa kebangsaan.

“Sejak adanya program ini anak saya menunjukkan perkembangan positif malahan dia seolah-olah tidak sabar mahu masuk ke kelas tersebut untuk belajar perkara baharu.

“Terima kasih YB (Yang Berhormat) Dr G Gunarajah kerana mewujudkan kelas percuma seperti ini semoga ia diteruskan dan dapat membantu murid yang alami masalah pembelajaran serta golongan kurang mampu,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, Wan Nurul Akhma Wan Ghazali, 36, berkata beliau tahu mengenai program itu daripada guru sekolah dan bersyukur apabila anaknya terpilih untuk mengikuti kelas tersebut.

“Selepas anak Nor Aina Mukhlisya Nor Azli (9 tahun) mengikuti kelas ini dia sudah pandai mengeja. Dia sangat gembira walaupun sesi kelas sudah tamat, dia cuba praktiskan lagi ilmu yang dipelajari di luar waktu kelas.

“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila YB Dr G Gunarajah menyediakan program ini membantu ibu bapa yang bekerja dan kurang masa untuk mengajar anak ketika sekolah tutup,” katanya yang bekerja sebagai kerani.

Pada 18 April, DUN Sentosa mengambil inisiatif menganjurkan kelas percuma selama tiga bulan bagi membantu murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran.

Sehingga kini seramai 20 murid yang terpilih dalam lingkungan usia sembilan sehingga 13 tahun terlibat dengan keutamaan memastikan sekurang-kurangnya mereka dapat mengenali 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.


Pengarang :