Orang ramai mengimbas aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebelum melakukan ujian calitan ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor pada 5 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ibu terpaksa tenangkan anak kecil buat saringan Covid-19

KUALA SELANGOR, 6 JUN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terpaksa ditenangkan ibunya selama hampir 15 minit sebelum berjaya membuat saringan Covid-19.

Siti Hajjar Sharif, 38, berkata Umair Mohamad Jainudin meronta ketakutan sebaik tiba di kaunter ujian sehingga menyukarkan petugas kesihatan memasukkan alat pencalit ke dalam rongga hidung.

Menurutnya, pada peringkat awal anak sulung dari dua beradik itu teruja untuk menjalani saringan memandangkan pertama kali berpeluang merasai pengalaman tersebut, namun situasi bertukar sebaliknya.

“Sebelum hadir, saya dan suami maklumkan Covid-19 virus berbahaya dan perlu disaring untuk kenal pasti seseorang itu dijangkiti atau tidak. Dia mengiyakan sahaja kerana kita tahu dia masih kecil sehingga berkali-kali ajak ke sini,” katanya kepada SelangorKini.

Siti Hajjar Sharif. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Selain Umair, Siti Hajjar dan suami Mohamad Jainudin Selamat, 51, turut membawa anak bongsu, Muhamad Mohamad Jainudin berusia 10 bulan melakukan saringan percuma di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang di sini semalam.

Pembantu tadbir itu berkata dia membawa keluarga ke program itu atas dasar tanggungjawab bagi memastikan tiada dalam kalangan mereka menjadi ‘pembawa senyap’ wabak berkenaan.

“Saya mendaftar awal di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) selepas dimaklumkan beberapa kenalan kerana saringan ini penting untuk lihat status kesihatan diri.

“Walaupun mengalami batuk biasa tetapi lebih baik diperiksa kerana wabak ini sangat berbahaya,” katanya yang menetap di Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang.

Mohd Nordin Syuib. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, seorang lagi peserta Mohd Nordin Syuib terpanggil melakukan saringan selepas menyedari kes Covid-19 di negeri ini kian membimbangkan susulan ramai dijangkiti meskipun tidak menunjukkan sebarang gejala.

Pesara guru berusia 56 tahun itu berkata program percuma ditawarkan Kerajaan Selangor juga enggan disia-siakan kerana kos saringan di klinik swasta agak membebankan.

“Ini cara terbaik untuk kemudahan masyarakat dan mereka yang masih kurang kesedaran, saya sarankan turut serta kerana ia baik untuk kesihatan,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Tengi Kanan, Tanjong Karang.


Pengarang :