Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan MDKS Bandar Baru, Kuala Selangor pada 6 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Individu disyaki positif Covid-19 diminta jangan panik, segera asing diri

KUALA SELANGOR, 6 JUN: Individu berkemungkinan positif Covid-19 melalui saringan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dinasihatkan tidak panik dan segera mengasingkan diri bagi mengelak penularan wabak.

Pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) berkata golongan terbabit perlu bersabar menunggu panggilan pejabat kesihatan daerah (PKD) berhampiran sebelum diuji menggunakan kit ujian pantas polimerase masa nyata (RT-PCR) bagi mengesahkan status jangkitan.

“Ramai melakukan saringan RTK-Ag dengan keputusan ‘disyaki positif’ tertanya-tanya adakah status itu sah atau tidak. Saya ingin jelaskan mereka harus buat RT-PCR di PKD selaras pekeliling dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun, sementara menunggu tindakan lanjut, individu ini perlu anggap mereka ‘positif’ dan duduk di rumah, amalkan kebersihan diri serta norma baharu,” kata Dr Mohammad Farhan Rusli.

Dr Mohammad Farhan Rusli. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan MDKS Bandar Baru Kuala Selangor di sini hari ini yang menyasarkan penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

Program dari jam 9 pagi hingga 4 petang turut dijalankan serentak di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Badong yang memanfaatkan masyarakat di DUN Ijok.

Sementara itu, Dr Mohammad Farhan berkata program percuma di kedua-dua lokasi menerima lebih 800 penyertaan menerusi pendaftaran awal di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Sambutan sangat bagus kerana ia luar bandar sekali gus membuktikan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan saringan walaupun kita mungkin tidak boleh mencapai jumlah penyertaan seperti di bandar.

“Berbanding program sebelum ini di kawasan sama, hanya 100 individu dapat disaring dalam tempoh lapan jam. Kita percaya ini adalah penambahbaikan dibuat pejabat pusat khidmat masyarakat serta pejabat tanah dan daerah yang membuat hebahan berterusan,” katanya.

Sehingga semalam, seramai 3,211 individu disyaki positif Covid-19 daripada 90,363 sampel diambil menerusi Saringan Komuniti di 46 DUN.


Pengarang :