Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Ingkar SOP: Polis kompaun 15 kilang di Shah Alam

SHAH ALAM, 23 JUN: Sebanyak 15 kilang di kawasan ini dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Shah Alam berkata antara kesalahan yang dilakukan beroperasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), melanggar syarat kapasiti pekerja serta tidak menyediakan laluan masuk dan keluar khas.

“Dalam operasi khas sejak Jumaat lalu, sebanyak 333 kilang telah diperiksa dan didapati terdapat majikan yang masih tidak patuh dengan SOP PKP.

“Selain kompaun terhadap majikan, seramai 22 pekerja turut dikenakan tindakan sama kerana tidak mengimbas kod MySejahtera dan memakai pelitup muka,” kata Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, semua kompaun terhadap kedua-dua pihak dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Terdahulu polis hanya menerima surat pengesahan dari tujuh kementerian dan tiga agensi kerajaan di sekatan jalan raya (SJR) ketika pelaksanaan PKP 3.0.

Antara kementerian berkaitan ialah MITI, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).


Pengarang :