Selangorkini
AGENSI SELANGOR

Insentif RM2,500 menanti pengkarya seni terbaik

SHAH ALAM, 19 JUN: Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2021 (PTGSA21) yang dijadual berlangsung pada Oktober menawarkan insentif RM2,500 kepada lima pengkarya terbaik.

Memasuki edisi ke-28, pengarahnya berkata pameran tersebut bagi mencari pelapis berpotensi untuk menampilkan karya yang mempunyai nilai estetika tinggi.

“Peserta bebas mencipta karya asalkan tidak menyentuh dan menyinggung mana-mana agama, bangsa serta perundangan misalnya karya catan, instalasi, media baharu, lukisan cat air, seni cetak, tekstil dan ilustrasi.

“Karya mereka akan dinilai panel juri profesional berdasarkan kreativiti, mesej, komposisi dan teknik melalui tiga fasa pemilihan iaitu paparan digital, karya sebenar serta karya yang layak dipamer,” kata Alina Abdullah ketika dihubungi.

Beliau menjangka lebih 100 penggiat seni berusia 18 tahun ke atas menghantar hasil karya masing-masing sebelum tarikh penyertaan ditutup secara rasmi pada 9 Julai.

“Setakat ini, kita menerima sebanyak 20 karya pelbagai jenis sejak penyertaan dibuka awal Januari dan kebiasaannya orang ramai akan menghantar hasil kerja pada saat akhir,” kata Alina.

Borang pendaftaran boleh dimuat turun di laman sesawang www.galerishahalam.com. Karya perlu dihantar terus ke Galeri Shah Alam di Persiaran Tasik, Seksyen 14, di sini.

Yuran pendaftaran RM20 akan dikenakan dan pembayaran boleh dibuat ke akaun Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan (CIMB: 8001943956).

Tahun lalu, sebanyak 82 karya dipamerkan daripada penggiat seni tempatan.


Pengarang :