AGENSISELANGOR

Jais: Majlis akad nikah bersemuka dibenar mulai 1 Julai

SHAH ALAM, 25 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara bersemuka mulai 1 Julai.

Menerusi poster dikongsi di Facebook, majlis hanya boleh dilaksanakan di pejabat Jais dan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dari Isnin hingga Ahad.

Pasangan perlu mendapatkan tarikh janji temu terlebih dahulu dan kehadiran adalah terhad kepada pengantin lelaki, perempuan serta wali.

Jais juga mengingatkan pengantin lelaki, perempuan serta wali wajib menjalani ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar.

Pada 1 Jun majlis akad nikah serta semua perkhidmatan di bawah Jais ditangguhkan sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara.


Pengarang :