Jururawat melakukan persiapan bagi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam pada 7 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jangan anak tirikan media, MP gesa agihan vaksin secara adil

SHAH ALAM, 11 JUN: Ahli parlimen Lembah Pantai menggesa kerajaan tidak menganaktirikan pengamal media sebaliknya mempercepat agihan vaksin Covid-19 secara adil kepada golongan terbabit.

Fahmi Fadzil berkata mereka adalah sebahagian dari petugas barisan hadapan untuk laporan berita yang pasti menjadi risiko kepada diri, rakan sekerja dan keluarga sekiranya belum diberi vaksin.

“Saya sebenarnya amat terkesan apabila warga media terpaksa meluahkan perasaan dengan menggunakan tanda pagar #CucukMyPress untuk mendapat layanan segera dari kerajaan.

“Pengamal media tidak patut dianak tiri. Mereka yang berada di lapangan, merakam dan melaporkan segala berita setiap hari dalam usaha kita membendung penularan Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Fahmi, beliau menyambut baik usaha kerajaan memberi vaksin kepada golongan berkaitan pada 1 Jun lalu namun jumlah 100 individu disifatkan kecil berbanding 5,000 yang telah mendaftar.

Jurucakap KEADILAN bagi komunikasi, seni dan budaya itu menggesa Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 menjelaskan mengapa warga media tidak termasuk dalam senarai fasa satu pemberian vaksin.

“Menteri komunikasi dan multimedia juga mesti beri penjelasan bila tarikh tepat kesemua golongan yang mendaftar ini akan terima vaksin. Seharusnya beliau lebih tegas dan pantas dalam hal ini, namun beliau jelas telah gagal,” luahnya.


Pengarang :