KOTA BHARU, 30 Jun — Warga emas Siti Liah Mamat, 120, (kiri) memegang plakad ‘Saya Sudah Lengkap Dua Dos’ setelah melengkapkan kedua-dua dos pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian hari ini. — fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDANASIONAL

Jangan takut ambil vaksin, pesan warga emas 120 tahun

KOTA BHARU, 30 JUN: “Hok mano yang nak suntik vaksin tu, jangan takut-takut, marilah ambil vaksin” (yang mana nak suntik vaksin tu, jangan takut datanglah dapatkan vaksin).

Itulah pesanan Siti Liah Mamat warga emas berusia 120 tahun yang dipercayai tertua di Kelantan, selepas melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian hari ini.

“Rasa gembira dan bersyukur, kerana sudah selesai menerima suntikan dos kedua. Orang ramai juga tidak perlu takut untuk dapatkan suntikan vaksin,” katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan tersebut di pusat pemberian vaksin khas (SPPV) menerusi kaedah pandu lalu di HUSM.

Sementara itu Pengarah HUSM Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, Siti Liah antara 84 orang penerima suntikan vaksin dos kedua, menggunakan kaedah pandu lalu di SPPV HUSM hari ini.

“Selain 84 orang yang menerima suntikan vaksin secara pandu lalu, lebih 204 dos suntikan pertama turut diberikan kepada pelajar perubatan hari ini.

“Kita berterima kasih kepada Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin, kerana memberi vaksin dan membolehkan kita perluaskan skop suntikan kepada pelajar perubatan,” katanya.

Seorang pelajar perubatan Muhammad Firdaus Ahmad Tarmizi, 24, melahirkan rasa syukur kerana menerima dos pertama vaksin.

“Selepas mengetahui janji temu vaksin pada Isnin lalu, pada mulanya agak berdebar kerana selalu dengar tentang kesan sampingan selepas suntik vaksin, seperti demam dan loya-loya.

“Bagaimanapun saya gembira dan bersyukur kerana rasa lebih selamat untuk berjumpa dengan pesakit-pesakit selepas ini,” kata Firdaus.

-BERNAMA


Pengarang :