Selangorkini
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). PPV MITEC merupakan satu daripada 9 PPV mega di seluruh negara dengan kemampuan maksimum untuk memberikan 6,000 suntikan dos sehari. Foto Facebook Muhyiddin Yassin
AGENDA NASIONAL

Janji temu dos kedua vaksin di empat PPV Lembah Klang diawalkan

PUTRAJAYA, 5 JUN: Janji temu bagi penerimaan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lembah Klang yang dijadualkan pada 8 Jun ini diawalkan ke 7 Jun di dua PPV baharu, demikian menurut Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

CITF dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mereka yang akan menerima dos kedua tersebut telah menerima dos pertama pada 17 Mei lepas di empat PPV iaitu Kompleks Sukan Desa Tasik, Kompleks Komuniti Muhibbah, Dewan Komuniti Manjalara dan Stadium Titiwangsa, dan dijadualkan menerima dos kedua pada 8 Jun.

Menurut CITF, empat PPV tersebut akan ditukarkan ke dua PPV baharu iaitu Kompleks Sukan Desa Tasik dan Kompleks Komuniti Muhibbah bertukar lokasi ke PPV Axiata Arena Bukit Jalil manakala Dewan Komuniti Manjalara dan Stadium Titiwangsa ke PPV Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Bagaimanapun, bagi tarikh janji temu untuk suntikan dos pertama mulai 7 hingga 24 Jun di empat PPV yang ditukarkan ke dua PPV berkenaan tidak berubah dan hanya melibatkan perubahan waktu.

CITF menjelaskan perubahan tarikh janji temu bagi dos kedua dan pertukaran lokasi PPV itu bertujuan mengelak kesesakan di PPV Mega yang akan dibuka Isnin ini sekali gus memastikan amalan penjarakan fizikal dipatuhi.

“Ia juga untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung terutamanya warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang divaksinasi di bawah Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” jelas CITF.

Empat PPV Mega yang akan dibuka 7 Jun ini ialah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Axiata Arena Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam yang mampu memuatkan kapasiti sebanyak 23,000 orang.

– BERNAMA


Pengarang :